Siakap Keli
terjatuh dalam pembetung
Gambar: Daily Mail

Alami Gegaran Ringan, Budak 18 Bulan Dirakam Terpijak & Terjatuh Dalam Pembetung

Seorang kanak-kanak berusia 18 bulan dilaporkan telah terjatuh dalam pembetung sedalam lima kaki ketika berjalan bersama ibunya.

Memetik laporan Daily Mail, mangsa telah terpijak penutup pembetung tersebut dan terus terjatuh.

Kejadian yang berlaku di Tenderden, Kent, United Kingdom itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dari rumah jirannya.

Ibu mangsa yang panik dilihat terus masuk ke dalam pembetung tersebut untuk menyelamatkan anaknya.

Dia berjaya memegang dan mengangkat anaknya keluar daripada pembetung tersebut.

Bagaimanapun, baju anaknya dipercayai dipenuhi dengan sisa kumbahan.

“Perkara pertama yang saya fikir pada ketika itu adalah ‘Ya Tuhan, dia sudah mati’.

“Saya menarik penutup longkang dan melihat dia berada di bawah, menjerit nama saya.

“Saya terjun ke dalam longkang tetapi ia sangat sempit dan saya tidak boleh membongkok untuk mencapainya.

“Ia sangat dalam sehingga anda tidak dapat melihat kepala saya dari luar,” katanya.

Selepas berjaya dikeluarkan, mangsa telah dibawa ke Hospital William Harvey Ashford dan didiagnosis mengalami gegaran ringan.

Kanak-kanak itu juga turut tertelan air di dalam pembetung tersebut.

Tambah ibu berusia 23 tahun itu, mereka berdua pada ketika itu keluar untuk pergi ke rumah bapanya.

“Dia berlari dan berdiri di atas penutup itu dan terus terjatuh,” katanya.

Insiden itu berlaku di laluan awam dan pihak syarikat pembersih kumbahan, Southern Water dilaporkan telah meminta maaf kepada keluarga mangsa.

Mereka juga berkata akan mengambil serius mengenai perkara itu.

BACA: Lelaki Terperangkap Dalam Pembetung Sempit Selama 2 Hari Berjaya Diselamatkan

Sumber: Daily Mail

Sofea

There's always another side to every story