Siakap Keli
terperangkap dalam pembetung
Gambar: Daily Mail

Lelaki Terperangkap Dalam Pembetung Sempit Selama 2 Hari Berjaya Diselamatkan

Seorang lelaki di California telah berjaya diselamatkan selepas dua hari terperangkap dalam sebuah pembetung ribut sempit pada Jumaat lalu.

Menurut Daily Mail, lelaki yang berusia 30-an itu dipercayai merangkak ke dalam pembetung selebar 41 sentimeter itu sendiri di Antioch, timur laut San Francisco.

Tidak diketahui mengapa dia bertindak sedemikian, tetapi tidak lama kemudian dia mula menjerit meminta tolong setelah menyedari bahawa dia terperangkap di dalam pembetung setinggi 15 kaki itu.

Orang ramai yang melalui kawasan pembetung itu mendengar jeritannya dan terus menghubungi talian kecemasan.

Sekurang-kurangnya 50 anggota bomba digegaskan ke tempat kejadian untuk menjalankan misi penyelamatan.

Misi itu berlangsung selama beberapa jam sebelum mangsa berjaya diselamatkan kira-kira pukul 9.30 malam waktu tempatan pada Ahad.

terperangkap dalam pembetung
Gambar: Daily Mail

“Apabila kami mengeluarkannya, dia sangat gembira kerana dapat menjejakkan kaki ke tanah semula.

“Ada beberapa perkara yang ajaib dalam kejadian ini iaitu orang ramai yang lalu lalang mendengar jeritan mangsa dan melaporkannya kepada 911.

“Dia terpisah daripada tempat akses disebabkan adanya pagar dan ia berangin,” kata jurucakap bomba, Steve Hill.

Tambahnya lagi, lelaki itu memasuki sistem pembetungan ribut itu dengan sengaja dan apabila sampai ke paip sempit, dia tersepit di situ.

BACA JUGA: (LIVE) Empat Hari Terperangkap Dalam Perigi, Misi Selamatkan Rayan Trending Di Sosmed

“Entah bagaimana orang ramai yang melalui laluan pejalan kaki yang agak jauh dari sistem pembetungan itu mendengar jeritannya.

“Itu agak ajaib kerana di luar sana sangat berangin,” kata Hill.

Dalam misi menyelamat itu, empat anggota bomba yang membawa bekalan udara memasuki ruang bawah tanah dari satu arah manakala penyelamat lain menggali laluan kedua dari seberang.

terperangkap dalam pembetung
Gambar: Daily Mail

Mereka membersihkan dahan pokok, sampah dan serpihan lain untuk mencapai lelaki itu, supaya dapat berkomunikasi dengan anggota penyelamat sepanjang masa.

Sementara itu, lelaki tersebut dipercayai tidak mengalami sebarang kecederaan, tetapi menunjukkan tanda-tanda dehidrasi.

Dia telah dibawa ke Pusat Perubatan Sutter Delta untuk diperiksa dan dirawat.

Gambar dari tempat kejadian memaparkannya dibawa pergi dengan pengusung selepas misi menyelamat selama tiga jam setengah.

Lelaki itu mendakwa telah terperangkap selama kira-kira 48 jam sebelum orang yang lalu lalang mendengar jeritannya.

Sumber: Daily Mail

Sofea

There's always another side to every story