Siakap Keli
kekecohan di sebuah restoran
Kredit Gambar: Utusan TV

Gaduh Guna Kayu Besbol Berebut Teman Wanita, Lapan Lelaki Ditahan Polis

Pihak polis telah menahan lapan orang lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian kekecohan di sebuah restoran di daerah Klang Selatan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Cha Hoong Fong dalam satu kenyataan berkata kesemua lelaki Cina itu berumur antara 14 tahun hingga 21 tahun diberkas dalam beberapa siri tangkapan di kawasan Kapar dan daerah Klang.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dan juga D7 Jabatan Siasatan Jenayah IPK Selangor telah menahan kesemua suspek pada 24 Mei.

“Turut dirampas beberapa telefon bimbit, beberapa helai pakaian, sebuah motokar dan juga dua batang besi besbol,” katanya.

Menurutnya lagi, kesemua suspek telah direman pada hari ini di hadapan Majistret, Mahkamah Majistret Klang, Selangor dan dibenarkan reman selama enam dan tiga hari.

“Pengakuan awal mendapati kesemua tangkapan mengaku terlibat dalam kes yang disiasat dan siasatan mendapati kejadian ini berpunca daripada perebutan teman wanita yang melibatkan pelajar sekolah.

“Namun begitu, campur tangan dari rakan-rakan suspek dan mangsa telah membawa kepada unsur-unsur gangsterism iaitu kumpulan kongsi gelap,” katanya.

Sementara itu, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 148/326 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah diminta untuk bekerjasama dengan pihak polis.

Sebarang maklumat boleh disalurkan terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33719999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Terdahulu, tular satu rakaman video kejadian kekecohan yang berdurasi lebih kurang 1 minit yang menunjukkan beberapa orang lelaki sedang bergaduh di sebuah restoran.

Kejadian itu dipercayai berlaku pada 24 Mei yang lalu dan memperlihatkan beberapa orang lelaki memegang objek menyerupai kayu besbol dan bertindak memukul seorang mangsa.

Ia berlaku di sebuah restoran di Taman Ehsan Jaya, Pandamaran di kawasan pentadbiran IPD Klang Selatan.

@utusantvofficial

Awek punya pasal gaduh. Kejadian di Pandamaran, Klang. 24 MEI 2022. #fyp #beritaditiktok #TrendingNewsMalaysia

♬ original sound – UtusanTV – UtusanTV

Sumber: Polis Klang Selatan

Baca: Duka Isteri Menghadap Ilahi, Pakcik Ni Kerap Masuk Kebun Untuk ‘Luah Perasaan’

Sofea

There's always another side to every story