Siakap Keli
Kredit: Makanlena

Kerap Makan Pedas, Ini Antara Punca Peluh Badan Anda Berbau

Ramai dalam kalangan kita yang mengalami masalah bau badan ketika berpeluh. Lazimnya orang akan kaitkan badan berbau ini dengan faktor kegemukan.

Dakwaan itu dilihat kurang tepat kerana terdapat juga golongan yang berbadan kecil mengalami masalah yang sama. Justeru, yang dipersalahkan ketidaksesuaian sabun mandi dan deodoran yang digunakan.

Mungkin benar, ia merupakan salah satu punca badan berbau, tetapi ia bukanlah satu satunya sebab yang mempengaruhi peluh badan seseorang itu berbau.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan punca berlakunya masalah badan berbau dan langkah yang perlu diambil untuk menanganinya, ikuti penjelasan daripada portal Hello Doktor seperti berikut:

Apa punca peluh berbau busuk?

Sebelum itu, adalah penting untuk kita tahu satu kenyataan di mana peluh itu sendiri sebenarnya tidak akan membawa sebarang bau.

Sebaliknya, bau busuk peluh itu datangnya daripada bakteria yang merebak dan membiak di kawasan tertentu pada badan manusia.

Menurut pelbagai kajian, bau busuk itu akan mula timbul apabila bakteria terbabit mula mengurai peluh dan protein pada kulit menjadi asid.

Antara kawasan kulit yang sering berbau akibat kewujudan bakteria adalah:

  • Kemaluan
  • Ketiak
  • Kaki
  • Pusat
  • Lubang dubur
  • Belakang telinga

Apa yang menariknya, bau badan kita semua ini adalah unik serta spesifik pada individu, dan ia dipengaruhi oleh pelbagai faktor.

Inilah puncanya mengapa kadangkala ada orang yang mengatakan bahawa mereka mengenali dan mengingati bau badan anda.

Namun, bagaimana pula jika peluh berbau busuk itu keterlaluan sehingga menyebabkan orang lain tidak selesa?

Faktor risiko peluh berbau busuk?

Seperti mana yang telah kami nyatakan di atas tadi, punca peluh berbau busuk adalah disebabkan oleh kewujudan bakteria.

Bakteria ini tinggalnya di dalam kelenjar apokrin atau kelenjar peluh yang biasa dikaitkan dengan bau badan manusia.

Ya, bau badan itu memang normal dan setiap orang ada bau tersendiri, namun mungkin ada faktor risiko lain jika bau yang keluar berlebihan!

Antara faktor risiko peluh berbau busuk yang disebabkan oleh aspek kesihatan termasuklah:

  • Akil baligh
  • Genetik
  • Obesiti
  • Diabetes
  • Hiperhidrosis
  • Stres

Faktor risiko lain pula yang disebabkan oleh tabiat di dalam kehidupan seharian iaitu:

  • Tidak menjaga kebersihan diri
  • Penyalahgunaan produk
  • Pengambilan ubatan tertentu
  • Kerap makan pedas
  • Sering minum alkohol

Mungkin juga wujud banyak lagi faktor risiko peluh berbau yang kami tidak nyatakan, jadi sila rujuk doktor untuk informasi lebih lanjut okay!

Aspek pemakanan juga memainkan peranan?

Apa yang mungkin mengejutkan mengenai punca peluh berbau busuk di atas tadi adalah apabila ia berkait dengan aspek pemakanan.

Buat pencinta makanan pedas, mungkin kalian perlu berfikir banyak kali sebelum mengambil ayam goreng pedas kegemaran anda itu.

Ini kerana rempah seperti bawang atau cili yang membuat makanan menjadi panas seterusnya akan memerlukan tubuh badan anda untuk mengeluarkan gas yang mengandungi sulfur untuk menguraikannya.

Ia kemudiannya akan berada dalam darah lantas menjadi antara dalang peluh badan berbau.

Begitu juga dengan mereka yang gemar minum minuman keras.

Minuman ini akan mengalir dalam darah anda selepas diminum lalu menyebabkan mekanisme badan menganggapnya sebagai toksin.

Oleh itu, badan anda akan cuba mengeluarkannya secepat mungkin.

Hati adalah tempat di mana alkohol mengalami proses metabolisme dan selepas itu, disalurkan kepada pundi kencing.

Jika pengambilan alkohol adalah lebih tinggi berbanding kapasiti hati, ia akan mengakibatkan peluh dan nafas anda berbau.

Bagaimana untuk elak peluh berbau busuk?

Sekiranya anda atau orang sekeliling sudah tidak tahan lagi dengan peluh berbau busuk yang kalian alami, sesuatu perlu dilakukan dengan kadar segera.

Perkara paling penting adalah segera berjumpa doktor untuk merawat kondisi kesihatan yang boleh menyebabkan peluh berbau.

Kemudian, sila ubah cara hidup anda dengan lebih menjaga kebersihan diri dan menggunakan produk yang tepat.

Bukan itu sahaja, perhatikan juga tabiat pemakanan dan cuba kurangkan mengambil makanan pedas serta minuman alkohol.

Prosedur penyuntikan dan pembedahan

Sekiranya masalah yang kalian alami itu masih berlaku malahan bertambah teruk, maka prosedur lebih besar perlu dijalankan.

Dapatkan pandangan doktor sama ada kalian perlu melakukan 2 prosedur untuk mengurangkan pengeluaran peluh ini:

  • Penyuntikan – Sejenis toksin terkawal bernama Clostridium botulinum akan disuntik ke dalam kawasan kulit tertentu yang sering berbau seperti ketiak
  • Pembedahan – Prosedur endoscopic thoracic sympathectomy (ETS) boleh dicuba untuk memusnahkan saraf mengawal peluh pada kawasan kulit tertentu

Anda juga ada masalah peluh berbau busuk? Segera berjumpa doktor untuk nasihat, ubatan serta rawatan lebih lanjut okay!

Sumber: Hello Doktor

Nurfatihah Shahirah Azzuddin