Siakap Keli
saman isteri kerajaan

Peter Anthony Dipenjara Tiga Tahun, Denda RM50,000 Kerana Palsukan Dokumen

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 terhadap Datuk Peter Anthony selepas didapati bersalah memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Hakim Azura Alwi juga memerintahkan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu menjalani hukuman penjara 15 bulan jika gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Azura membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sehingga rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan hari ini selesai, namun memerintahkan denda RM50,000 itu dibayar hari ini.

Terdahulu, peguam S. Devanandan yang mewakili Peter memohon penangguhan pelaksanaan kedua-dua hukuman itu.

Semasa rayuan terhadap hukuman, Devanandan memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadap anak guamnya.

“Dalam kes ini, anak guam saya telah memberi kerjasama sehingga akhir perbicaraan selain hadir ke mahkamah tanpa gagal kecuali kehadiran beliau dikecualikan. Dalam kes ini, Syarikat Asli Jati telah membantu ratusan pelajar UMS malah beliau juga telah banyak membantu pelajar-pelajar miskin di UMS,” kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah memohon hukuman berbentuk pencegahan agar memberi pengajaran kepada masyarakat termasuk ahli politik dan penjawat awam bahawa mahkamah tidak akan bertolak ansur terhadap perbuatan sedemikian.

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang