Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Produk ‘Prime Kopi Pejuang 3 In 1’ Boleh Sebabkan Pengambilan ‘Dos Berlebihan’ Tadalafil

SINGAPURA, 26 Mei (Bernama) — Penguasa Sains Kesihatan Singapura (HSA) menasihatkan orang ramai tidak membeli atau mengambil ‘Prime Kopi Pejuang 3 in 1’ yang dipasarkan dalam talian sebagai produk mengandungi “ramuan herba berkualiti tinggi” dan boleh meningkatkan kesihatan seksual lelaki.

Selepas menerima maklum balas daripada dua kes berlakunya kesan buruk kepada pengguna, ujian yang dijalankan ke atas produk itu mendapati khasiatnya tidak sama seperti diiklankan.

Produk itu didapati mengandungi banyak kandungan bahan perubatan sintetik, ‘tadalafil’ yang tidak diisytiharkan.

Menurut HSA, seorang pengguna dimasukkan ke unit kecemasan hospital selepas mengalami kesan buruk seperti sakit badan, menggigil, migrain, sakit di bahagian rahang.

“Seorang lagi pengguna mengalami priapisme (keadaan abnormal apabila zakar terereksi secara berterusan, selalunya tanpa keinginan seks) kira-kira empat jam selepas mengambil produk itu. Priapisme boleh menyebabkan kerosakan tisu zakar secara kekal jika tidak dirawat segera,” menurut HSA di laman sesawangnya.

Menurut HSA pengguna yang mengambil produk mengikut arahan penggunaan yang dilabelkan – satu uncang setiap hari – boleh terlebih dos tadalafil iaitu 10 kali daripada yang ditetapkan.

Tadalafil, ubat preskripsi digunakan untuk merawat disfungsi erektil, hanya diberikan di bawah pengawasan perubatan.

‘Prime Kopi Pejuang 3 in 1’ dijual di e-dagang tempatan – Shopee, Lazada, Qoo10 dan Carousell – dan platform media sosial – Facebook.

“Semua penjual dan pembekal mesti berhenti menjual atau membekalkan produk itu serta-merta. HSA tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang tegas terhadap sesiapa sahaja yang menjual dan/atau membekalkan produk yang didapati dicemari dengan bahan ubat yang poten.

“Penjual dan pembekal yang menjual atau membekalkan ‘Prime Kopi Pejuang 3 in 1’ boleh didakwa dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjarakan sehingga dua tahun dan/atau didenda sehingga S$10,000,” menurut HSA.

Sumber: BERNAMA

Baca: Duka Isteri Menghadap Ilahi, Pakcik Ni Kerap Masuk Kebun Untuk ‘Luah Perasaan’

Sofea

There's always another side to every story