Siakap Keli
keluarga diraja britain
Gambar: Showbiz Cheat Sheet/ The list

Ratu Elizabeth Cari ‘Bibik’ Istana, Tawar Gaji RM44 Sejam

Keluarga Diraja Britain dilaporkan sedang mencari pembantu rumah profesional yang berperanan memastikan kediaman mereka terus berada dalam keadaan yang baik sepanjang masa.

Memetik laporan Metro UK, pembantu yang terpilih akan bekerja 40 jam seminggu sama ada di Buckingham Palace atau Windsor Castle.

Gaji yang ditawarkan bagi jawatan itu adalah sebanyak £7.97 (RM44.21) sejam, iaitu kurang daripada £1.93 (RM10) kos sara hidup standard di Britain.

Tambahan lagi, penginapan dan makanan turut akan disediakan kepada mereka yang diterima bekerja.

Malah, skim pencen dengan caruman majikan sebanyak 15% dan 33 hari cuti tahun juga turut akan diberikan.

“Ini adalah bidang kerjaya dalam hospitaliti yang akan mengembangkan kemahiran dan kepakaran mengemas anda.

“Sertai pasukan profesional kami. Anda akan menjaga dan membersihkan barangan dan hiasan dalaman serta memastikan ia berada dalam keadaan yang sebaik mungkin,” kata pihak diraja itu menerusi satu iklan.

Dalam pada itu, calon yang mempunyai pengalaman menjadi pembantu rumah mungkin akan lebih dipertimbangkan.

“Majikan lebih berminat dengan pendekatan proaktif dan keupayaan anda untuk menangani cabaran baharu,” kata iklan itu.

Individu yang sesuai dengan pekerjaan itu mempunyai perhatian terhadap perincian, berbangga dengan kerja yang dilakukan dan menyasarkan standard yang lebih tinggi.

“Anda akan seronok bekerja sebagai sebahagian daripada pasukan ini dan gembira untuk terlibat dalam pelbagai tugas untuk menyokong orang lain.

“Dengan kemahiran pengurusan masa yang baik, anda boleh menyiapkan kerja seperti yang diarahkan dan bekerja dengan cekap untuk menyelesaikannya.

“Yang paling penting, anda akan bersemangat untuk mempelajari kemahiran baharu dan mengembangkan kerjaya hospitaliti,” ujar iklan itu lagi.

Individu yang berminat boleh memohon sehingga 19 Jun 2022, manakala temuduga akan berlangsung pada bulan Julai.

Sumber: Metro UK

Baca: Duka Isteri Menghadap Ilahi, Pakcik Ni Kerap Masuk Kebun Untuk ‘Luah Perasaan’

Sofea

There's always another side to every story