Siakap Keli
tembakan amerika
Gambar: GoFundMe campaign

Dipercayai Terlalu Sedih, Suami Guru Mangsa Tembakan Di Amerika Meninggal Dunia Dua Hari Kemudian

Baru-baru ini dunia digemparkan dengan tragedi tembakan di Robb Elementary School di Amerika Syarikat yang meragut 21 nyawa insan yang tidak bersalah.

Sebanyak 19 orang kanak-kanak dan dua orang guru, Irma Gracia serta Eva Mireles terbunuh dalam kejadian tembakan yang didalangi oleh seorang remaja berusia 18 tahun.

Bagaimanapun, berita sedih sekali lagi menimpa keluarga mendiang Irma apabila suaminya dilapor meninggal dunia dua hari kemudian.

Memetik CNN yang melaporkan kenyataan wakil gereja, suami mendiang dilapor meninggal dunia akibat serangan jantung yang salah satu puncanya dipercayai akibat terkejut dan terlalu sedih dengan kejadian yang menimpa isterinya.

Mendiang dan suaminya yang hanya dikenali sebagai Joe merupakan antara pengunjung dan terlibat aktif dengan aktiviti gereja di kawasan kejiranan dimana mereka tinggal.

Perkara berkenaan turut disahkan oleh sepupu Irma melalui satu kenyataan yang dimuat naik dalam Kempen Go Fund Me anjuran keluarga mendiang.

Walaupun punca kematian adalah akibat serangan jantung, keluarganya percaya rasa patah hati dan kesedihan akibat kehilangan isteri adalah punca berlakunya serangan jantung tersebut. Apatah lagi, Joe dan Irma dikatakan sudahpun mendirikan rumah tangga selama 25 tahun.

Keluarga Irma turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan kata-kata semangat dan doa memandangkan mereka semua masih terkejut dan sedang berusaha untuk menerima kenyataan berkenaan situasi yang sedang dihadapi ketika ini.

Dalam pada itu, CNN melaporkan Irma merupakan seorang guru veteran yang sudahpun berkhidmat selama 23 tahun dan tahun ini merupakan tahun kelima mendiang berkhidmat bersama Mireles di sekolah berkenaan.

BACA: Gempa Bumi Kuat Gegar Timur Indonesia

Sumber: CNN

Nurul Nazihah