Siakap Keli
Gambar: The Daily Meal

Nak Tarik Pekerja Dari Malaysia, Restoran Di Singapura Tawar Gaji Cuci Pinggan Sehingga RM 11000 Sebulan

Beberapa pemilik restoran di Singapura mendakwa berdepan kesukaran untuk mencari pekerja bagi mengisi kekosongan jawatan kosong pencuci pinggan di presmis perniagaan masing-masing, sehingga terpaksa menawarkan gaji mencecah RM 11000 sebulan.

Menurut laporan portal Must Share News, jawatan kosong sebagai pencuci pinggan itu ada yang tidak terisi untuk tempoh yang begitu lama. Bagaimanapun, masalah berkenaan berjaya diatasi selepas beberapa pemilik restoran menaikan tawaran gaji mencecah nilai lima angka itu.

Namun begitu katanya, mereka masih perlu menunggu untuk tempoh yang lama, ada antaranya sehingga sebulan, walaupun gaji yang ditawarkan jika ditukar ke matawang Ringgit Malaysia sebenarnya cukup lumayan.

Lapor Must Share News lagi, pemilik restoran sebenarnya sudah sekian lama berdepan kesukaran untuk mencari pekerja, lebih-lebih lagi dalam kalangan pekerja tempatan yang berminat untuk terlibat dalam industri tersebut.

Rata-rata warga tempatan tidak berminat untuk mengisi kekosongan kerja tersebut, misalnya sebagai pencuci pinggan kerana menganggap perkerjaan berkenaan sebagai bertaraf rendah.

Oleh kerana itu, mereka amat bergantung kepada tenaga kerja asing, khususnya dari Malaysia, namun begitu dengan situasi pandemik Covid-19 yang melanda dunia baru-baru ini, keadaan menjadi semakin sukar untuk mencari pekerja.

Ini disebabkan ramai pekerja yang memilih untuk pulang ke negara masing-masing selepas pintu sempadan dibuka selain tindakan kerajaan yang mengetatkan polisi pengambilan pekerja asing turut menyukarkan keadaan.

Selain itu, pemilik restoran juga terpaksa membayar gaji yang lebih tinggi sekiranya mengupah pekerja pencuci pinggan melalui agensi pembersihan. Sekiranya memilih perkhidmatan ini, mereka terpaksa membayar sehingga RM 12,700 sebulan beserta bonus yang boleh mencecah sehingga RM 9,000 sebulan kepada agensi pembersihan bagi setiap pekerja.

Mereka terpaksa menggunakan perkhidmatan pencuci pinggan daripada agensi pembersihan memandangkan berdepan kesukaran untuk mencari sendiri pekerja. Rata-rata pemilik restoran memaklumkan mereka memerlukan sekurang-kurangnya dua orang pencuci pinggan untuk bekerja di restoran masing-masing.

Bagaimanapun, ada juga restoran yang memilih untuk menawarkan gaji yang lebih rendah, tetapi dengan tawaran bonus prestasi yang tinggi.

Misalnya, pemilik kepada tiga buah restoran makanan barat di Singapura ini menawarkan gaji pencuci pinggan RM 8,283 sebulan dengan bonus menandatangani kontrak RM 6,371. Pekerja-pekerja ini juga akan diberikan bonus bulanan sehingga RM 3,185 sekiranya menunjukkan prestasi yang baik.

BACA: Ibu Dah “Burnout” Terduduk Lesu, Tak Larat Nak Layan Anak Asyik Menangis Hanya Nak Susu Badan

Sumber: Must Share News, Zaobao.sg

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.