Siakap Keli
22 penumpang terhempas
Foto: CNA via Reuters

22 Mayat Penumpang Pesawat Terhempas Di Himalaya Ahad Lalu Berjaya Dibawa Keluar

Pasukan Mencari dan Penyelamat Nepal hari ini berjaya membawa keluar kesemua 22 mayat penumpang termasuk kru di dalam sebuah pesawat yang dilapor terhempas ke lereng gunung Himalaya pada Ahad.

Kerajaan Nepal telah membentuk panel untuk menyiasat kejadian berkenaan dan sekali gus mencadangkan langkah untuk mencegah ia berlaku pada masa akan datang.

Kesemua mangsa iaitu dua warga Jerman, empat warga India dan 16 warga Nepal yang menaiki pesawat De Havilland Canada CHC-6-300 dilapor terhempas 15 minit selepas berlepas dari bandar perlancongan Pokhara, 125 kilometer dari barat Kathmandu.

Tentera Nepal dan pegawai penyelamat sebelum ini dilapor berjaya menemui 20 mayat mangsa yang berselerak di cerun curam pada ketinggian kira-kira 14,500 kaki. Kotak hitam juga telah ditemui, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh jurucakap operasi menyelamat.

Kata jurucakap itu lagi, keadaan cerun yang curam dan tidak sekata serta cuaca buruk bagaimanapun menyebabkan pasukan penyelamat berdepan dengan kesukaran untuk menuju lokasi dimana dua lagi mayat dikesan berada.

Menurutnya lagi, 10 mayat mangsa akan dibawa ke Kathmandu pada Isnin dan 12 mayat mangsa lain akan di bawa pulang ke ibu negara hari ini selepas berjaya dibawa keluar.

Terdahulu, sebuah pesawat Twin Otter yang membawa 22 penumpang termasuk kru hilang dari radar pada pagi Ahad selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kathmandu, Nepal.

Menurut agensi antarabangsa, pesawat terbabit berlepas dari bandar Pokhara ke bandar Jomsom kira-kira jam 9.55 pagi waktu tempatan sebelum gagal untuk dihubungi oleh Pusat Kawalan Trafik.

Berdasarkan laporan lalu, pada tahun 2018 lalu, sebuah pesawat US-Bangla terhempas berhempiran Lapangan Terbang Antarabangsa berhampiran Kathmandu. Kemalangan tersebut mengorbankan kira-kira 51 penumpang dan anak kapal.

Sumber: CNA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang