Siakap Keli
tayar sotong
Gambar hiasan via Twitter

Tayar ‘Sotong’ Jadi Pilihan, Apa Beza Dengan Tayar Kilang? Ini Penjelasan Pakar

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Mungkin yang menganggap “tayar sotong” ini telah lama wujud, ia sebenarnya kembali menjadi trend anak muda dalam tempoh beberapa tahun ini.

Tayar sotong biasanya menjadi pilihan segelintir penunggang motosikal kerana menurut mereka, ia dipercayai boleh menambahkan kelajuan kenderaan tersebut.

Walau bagaimanapun, akhir-akhir ini tayar sotong kembali menjadi trend kepada generasi muda zaman sekarang yang menggunakan tayar jenis ini pada motosikal mereka.

Sebenarnya, terdapat perbezaan yang ketara antara tayar sotong dan tayar asal (set kilang) kerana kedua-duanya mempunyai memiliki kemampuan masing-masing.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut perbezaan antara tayar sotong dan tayar asal, mari kita ikuti perkongsian yang dibawakan oleh pakar automotif, Dr. Aid Fawzal di laman Twitternya.

Tayar Sotong ‘Versus’ Tayar Kilang

Jom kita mulakan dengan kenali ‘tayar sotong’. Lihat gambar 2, dibahagian atasnya adalah Yamaha Y15ZR keluaran kilang. Manakala gambar di bawahnya adalah motorsikal yang sama tetapi dengan tayar yang SANGAT NIPIS.

Ni lah dia ‘tayar sotong’.

Gambar: Twitter Aid Fawzal

Tak lah saya jumpai mana-mana sumber yang dapat merungkai kenapa ia dipanggil ‘tayar sotong’. Tapi zaman muda ikut-ikut kawan main motor dulu-dulu, mereka kata sebab ketebalannya (yang nipis tu) menyerupai ‘squid ring’ (gegelung sotong). Ke korang ada penjelasan yang lebih tepat?

Dalam bidang kejuruteraan, apabila sesuatu rekaan itu berbeza daripada yang lain, ini membawa maksud penggunaannya juga berbeza. Begitulah juga dengan ‘tayar sotong’ ini.

Dalam akhbar @kosmo_online (gambar 3), Abg Wazi telah jelaskan bahawa kegunaan ‘tayar sotong’ hanya untuk ‘sprint test’; iaitu perlumbaan dengan jalan yang lurus. Beliau juga menambah bahawa ia tak sesuai untuk kegunaan jalan raya kerana mudah tergelincir sewaktu mengambil selekoh.

Gambar: Twitter Aid Fawzal

Jadi, jom kita fahami secara teknikal kenapa ia bagus untuk perlumbaan jalan lurus & tidak sesuai untuk ambil selekoh.

Sebab-sebabnya adalah:

1) ‘Smaller contact patch’

Hal ini telah dijelaskan oleh Dr Nurin Wahidah Zulkifli dari Universiti Malaya (lihat keratan akhbar gambar 3) dimana tayar sotong mempunyai nilai permukaan tayar yang bersentuhan dengan jalan raya yang kecil.

Disebabkan nilai permukaan yang bersentuhan kecil lantas menghasilkan nilai rintangan geseran (rolling resistance) yang rendah.

2) ‘Lower rolling resistance’

Tayar ni getah. Apabila ia bersentuhan dengan jalan raya, ia akan mencengkam permukaan tersebut disebabkan nilai geserannya (friction) yang tinggi. Apabila tayar nipis dipakai, nilai rintangan geserannya rendah.

Dengan ini, lebih banyak kuasa enjin dapat digunakan untuk memecut daripada tersia-sia untuk melawan cengkaman kerana geseran. Inilah penyebab utama kenapa ‘tayar sotong’ mampu tingkatkan kelajuan.

Dalam bahasa mudah, tayar yang nipis akan melekat pada jalan sikit je. Jadi senang nak memecut berbanding tayar yang tebal & lebar.

Akan tetapi, atas sebab yang sama jugalah ia tidak sesuai untuk kegunaan di jalan raya kerana mudah tergelincir (sama seperti apa yang Abg Wazi sebutkan). Dalam bahasa automotif & perlumbaan dipanggil ‘lower tyre traction’.

(Tyre) Traction (daya tarikan) adalah kemampuan tayar untuk kekal di atas permukaan jalan tanpa tergelincir.

3) Aerodinamik: Rendah rintangan angin (lower drag)

Angin yang melalui tayar ni sangat lah kompleks disebabkan ia berputar. Tayar yang nipis bukan hanya mempunyai permukaan hadapan yang kecil (smaller frontal area), tetapi juga…

Tetapi juga akan menghasilkan kawasan pusaran dibelakang tayar (wake region) yang kecil. Kedua² sifat ini merendahkan nilai rintangan angin.

Lihat gambar ke 4 untuk membayangkan aliran angin pada tayar yang berpusing (Mercker & Bernerburg, 1992).

Gambar: Twitter Aid Fawzal

4) Ringan

Disebabkan ianya nipis, ‘tayar sotong’ lebih ringan berbanding tayar keluaran kilang yang lebih tebal. Dengan keringanan, ia memecut lebih cepat kerana kurang inersia & lebih top speed kerana nisbah kuasa kepada berat (power-to-weight ratio) menjadi lebih tinggi.

5) Reka bentuk tayar

‘Tayar sotong’ direka khusus sesuai untuk satu tujuan dan satu kegunaan sahaja iaitu perlumbaan jalan lurus. Dengan itu, struktur rekabentuknya lebih fokus pada bahagian lebar tanpa memandang kepada bahagian sisi (tyre shoulders) & dinding (side walls).

Manakala tayar untuk kegunaan harian, tayarnya cukup cembung/kembung supaya mempunyai permukaan sisi (tyre shoulders) yang luas dan ini bantu beri cengkaman sewaktu mengambil selekoh.

Tayar harian juga mempunyai dinding (side walls) yang kuat supaya mampu bertahan dengan pelbagai jenis permukaan jalan (robustness).

Harapnya dengan penjelasan teknikal saya ni, dapat la korang fahami yang setiap reka bentuk tu ada kegunaannya yang tersendiri. Bukan suka-suka nak cantik je

Tapi, cantik ke macam ni?

Gambar: Twitter Aid Fawzal

Untuk pengetahuan, Dr Aid Fawzal merupakan lulusan doktor falsafah (PhD) dalam bidang automotif dan sukan permotoran (dikhsususkan) sistem penyejukan untuk hibridisasi/elektrikfikasi.

Beliau yang juga pakar dinamik bendalir dan pemindahan haba kini aktif berkongsi catatan-catatan ilmiah mengenai automotif di media sosial miliknya.

Sumber: Twitter Aid Fawzal

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?