Siakap Keli
Hisap ganja di rumah
Gambar Via Bangkok Post

Thailand Membenarkan Rakyatnya Hisap Ganja Di Rumah

Susulan kebenaran tanam pokok ganja bermula hari ini, rakyat Thailand turut dibenarkan hisap ganja di rumah.

Pihak berkuasa di Thailand akan membenarkan rakyatnya menghisap ganja di rumah dan tidak akan menahan mereka, lapor Bangkok Post.

Bagaimanapun, hukuman akan dikenakan jika ada individu yang menghisap ganja di kawasan awam sehingga menganggu ketenteraman awam.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan pesuruhjaya polis negara dan pengarah Biro Penindasan Narkotik (NSB), Pol Jen Roy Ingkapairote, susulan daripada kebenaran menanam tumbuhan ganja di rumah bermula hari ini.

Menurut laporan, ganja tidak akan dianggap sebagai ubat terlarang mulai hari ini setelah Warta Diraja dikuat kuasakan bermula 9 Februari lalu.

Ia sekaligus menandakan bahawa pengeluaran, import, eksport, pengedaran, penggunaan dan pemilikan ganja akan disahkan secara rasmi.

Bagaimanapun, ekstrak minyak kanabis yang mengandungi lebih daripada 0.2% tetrahydrocannabinol (THC), iaitu sebatian psikoaktif utama dalam kanabis dikategorikan sebagai bahan kategori 5 dan dikawal di bawah undang-undang yang berkaitan dengan kawalan dan penindasan narkotik.

Lebih 4,000 banduan akan dibebaskan

Dalam pada itu, lebih 4,200 banduan yang membabitkan kes berkaitan ganja akan dibebaskan.

Manakala, kes ganja yang menunggu siasatan juga akan digugurkan dan waran tangkap yang dikeluarkan untuk penggunaan ganja akan dibatalkan.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Awam berkata mereka sedar bahawa penggunaan ganja secara tidak wajar boleh menyebabkan berlakunya peningkatan pengguna dadah.

“Sesetengah orang mungkin akan menggunakan ganja secara berlebihan atau mencampurkannya dengan bahan narkotik lain.

“Susulan itu kementerian akan menyediakan sistem untuk memantau mereka yang mungkin mengalami masalah mental akibat penggunaan ganja dengan cara yang salah,” kata Setiausaha Tetap kementerian itu, Kiattiphum Wongrajit.

Tambahnya, pakar psikiatri akan ditugaskan di setiap wilayah untuk menawarkan bantuan.

“Kami juga akan menubuhkan pasukan lain untuk meneliti kes kemalangan jalan raya yang boleh dikaitkan dengan penggunaan ganja.

“Kami perlu menyediakan langkah pencegahan terhadap penggunaan ganja yang tidak wajar,” ujarnya lagi.

Di samping itu, kementerian itu juga telah menubuhkan jawatankuasa komunikasi ganja yang dipengerusikan oleh setiausaha tetap.

Ia bertujuan untuk mendidik orang ramai mengenai cara menggunakan ganja dengan betul untuk tujuan kesihatan atau komersial.

Sumber: Bangkok Post

Baca: Duka Isteri Menghadap Ilahi, Pakcik Ni Kerap Masuk Kebun Untuk ‘Luah Perasaan’

Sofea

There's always another side to every story