Siakap Keli
sorakan buat pemain hilang fokus
Gambar hiasan via Bernama

Sorakan Penyokong Buat Pemain Hilang Fokus – Faizal

Sorakan penyokong buat pemain hilang fokus, demikian pendapat yang dilontar oleh menteri belia dan sukan mengenai kekalahan Malaysia baru-baru ini.

Sorakan penyokong di stadium ketika Malaysia menentang Bahrain dalam kelayakan Piasa Asia 2023 baru-baru ini menyebabkan pemain skuad kebangsaan hilang fokus.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sorakan tersebut bergema ketika beberapa pemain sedang bersiap-sedia untuk dimasukkan ke padang.

“Selepas kita menjaringkan gol pertama, di luar padang ada kelibat beberapa pemain yang akan dimasukkan, antara Guilherme De Paula yang memanaskan badan untuk dimasukkan dalam permainan.

“Pada ketika itu seluruh stadium bersorak, sejurus selepas sorakan itu, pemain telah hilang fokus menyebabkan kita terlepas gol.

“Jadi, kalau nak kata kita kalah disebabkan pemain seratus peratus pun saya rasa tidak juga. Sebagai orang yang berada di stadium, penyokong juga ada menyumbang kepada larinya fokus pemain pada ketika itu.

“Kalau saya pun di atas padang, pasti akan tertanya-tanya mengapa orang menjerit kepada saya, hilang fokus sikit,” katanya, memetik laporan Utusan hari ini.

Dalam pada itu, meskipun kesilapan tersebut menyebabkan pasukan negara terpaksa tunduk kepada Bahrain, namun Faizal optimis bahawa penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias tidak harus dipersalahkan.

Faizal sebaliknya menjelaskan, kesilapan yang dilakukan hanyalah adat (resam) dalam permainan, selain berpendapat bahawa jasa pemain itu dalam bola sepak tanah air selama ini sepatutnya dipuji.

“Dalam apa juga perlawanan atau sukan, tentu ada yang menang, ada yang kalah. Dalam permainan berpasukan, ada satu atau dua (pemain) melakukan kesilapan, ini semua adat permainan.

“Pada saya, Farizal banyak jasa kepada kita. Dia mendedikasikan hidupnya kepada sukan dan pada perlawanan tempoh hari. Tentunya dia tidak mahu gagal namun ia telah berlaku.

“Kita harap setiap kesilapan yang berlaku, kita belajar dan bukannya kita tuding jari sehingga merosakkan beliau sebagai atlet, kenang jasa beliau sebagai seorang pemain,” tambah bekas Menteri Besar Perak itu lagi.

Imbas kembali, Harimau Malaya menerima kunjungan Bahrain dalam kelayakan Piala Asia 2023 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu baru-baru ini.

Dalam perlawanan pada malam itu, skuad kebangsaan tampil cemerlang selaku pendahulu apabila gol sulung negara disumbangkan oleh Mohamadou Sumareh pada minit ke-55.

Bagaimanapun dua minit kemudian, kegarangan Harimau Malaya tidak kekal lama apabila gawang negara berjaya dibolos oleh Bahrain menerusi Ali Haram pada minit ke-57.

Kedudukan 1-1 dijangka kekal hingga ke wisel penamat, namun sangkaan itu musnah apabila Farizal melakukan kesilapan mudah sehingga ‘terpaksa’ menghadiahkan sepakan penalti kepada Bahrain.

Tepat minit ke-81, gawang gol negara sekali lagi dibolosi Bahrain menerusi sepakan penalti daripada Abdulla Yusuf Helal. Akhirnya kedudukan 1-2 kekal hingga ke tamat permainan.

Sumber: Utusan

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.