Siakap Keli
squid game musim kedua
Gambar: Netflix, Google

Rasmi, Squid Game Disahkan Akan Kembali Untuk Musim Kedua

Squid Game musim kedua akan kembali, paparkan pusingan permainan yang baharu dengan watak utama masih dikekalkan.

Mendapat lebih 16 bilion tontonan di seluruh dunia, drama bersiri popular Korea Selatan, Squid Game disahkan akan kembali untuk musim kedua.

Perkara itu dimaklumkan oleh Netflix semalam menerusi ciapan di Twittter.

“Lampu merah.. lampu hijau! Squid Game secara rasminya akan kembali untuk musim kedua,” kata Netflix.

Dalam ciapan yang lain, Netflix juga telah berkongsikan mesej dari pengarah, penulis dan produser, Hwang Dong-Hyuk kepada peminat drama itu.

Beliau berterima kasih kepada peminat di seluruh dunia yang terus menyokong dan menyayangi drama tersebut.

“Squid Game musim pertama mengambil masa selama 12 tahun untuk diterbitkan tetapi ia hanya mengambil masa selama 12 hari untuk menjadi antara siri Netflix yang paling popular,” katanya.

Menurutnya, watak utama, Gi-hun dan Front Man akan kembali untuk musim kedua ini bersama dengan watak-watak baharu.

“Sertai kami sekali lagi untuk ‘pusingan’ yang baharu,” katanya.

Squid Game merupakan drama fiksyen yang memaparkan individu-individu yang terdesak memerlukan wang dan memilih untuk menyertai permainan ‘maut’.

Terdahulu, Netflix memaklumkan bahawa drama tersebut menjadi siri paling popular yang pernah dilancarkan oleh syarikat itu.

Memetik laporan CNN, ia menjadi siri Korea pertama yang menduduki carta nombor satu di Amerika Syarikat.

Difahamkan, ia mendapat 1.65 bilion tontonan selama 28 hari ia dikeluarkan di negara tersebut.

Sumber: Netflix, CNN

Sofea

There's always another side to every story