Siakap Keli
rompak mesin atm belajar dari youtube
Gambar: Tribun

Rompak Mesin ATM Belajar Daripada Youtube, Empat Lelaki Ditahan Polis

Tindakan empat lelaki yang merompak mesin juruwang automatik (ATM) hasil belajar daripada Youtube akhirnya mengundang padah apabila mereka ditahan polis, lapor Tribun.

Menurut Tribun, keempat-empat suspek terbabit melakukan kegiatan rompak mesin ATM itu di sebuah pusat beli-belah di Bandar Cimahi, Jawa dalam satu kejadian petang tadi.

Ketika ditahan di lokasi kejadian, dua daripada suspek terbabit terpaksa berjalan terhenjut-henjut menahan sakit kerana kaki mereka tercedera akibat ditembak polis.

Difahamkan, pihak polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah suspek kerana ada antaranya yang keras kepala dan mahu melawan.

Menurut Tribun, suspek utama yang berusia 42 tahun mengaku bahawa dia belajar cara-cara merompak mesin ATM menerusi kandungan video di Youtube.

“Saya belajar dari Youtube macam mana nak mencuri duit daripada mesin ATM dan sentiasa melakukanya,” katanya kepada pemberita, memetik Tribun.

Dalam pada itu, suspek tersebut turut mengajak tiga lagi rakannya yang masing-masing berumur 44, 41 dan 28 tahun untuk melakukan kegiatan terkutuk itu.

Difahamkan, setiap kali ‘misi’ tersebut dilakukan, mereka menyasarkan mesin ATM yang terletak di lokasi sunyi dan tiada orang lain mengeluarkan duit ketika itu.

“Saya telah merompak mesin ATM di 13 lokasi. Setiap kali merompak, kami mampu mendapatkan wang tunai sekitar hampir RM300,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cimahi, Imron Ermawan berkata, dua daripada suspek yang ditangkap itu pernah ditahan di Ibu Pejabat Polis Jakarta Barat dalam kes jenayah sebelum ini.

“Mereka baru saja dibebaskan daripada tahanan,” katanya.

Buat masa ini, keempat-empat suspek terbabit masih ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Cimahi untuk siasatan lanjut.

Sumber: TribunJabar.Id

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?