Siakap Keli
kanak-kanak tertusuk sengat ikan keli
Gambar: Metro UK

Kanak-Kanak Tertusuk Sengat Ikan Keli Di Dada Ketika Memancing

Seorang kanak-kanak dilaporkan tertusuk sengat ikan keli sewaktu keluar memancing bersama keluarganya dalam kejadian di US baru-baru ini, lapor Metro UK.

Menurut sumber Bomba dan Penyelamat Pasco, kejadian itu berlaku semasa budak 10 tahun itu sedang memancing di New Port Richey di Utara Tampa, Florida.

Jurucakapnya, Corey Dierdroff berkata, selepas terkena sengat ikan itu, ibu mangsa telah membawanya ke hospital dengan menaiki kereta dalam kadar segera.

“Semasa dalam perjalanan, kanak-kanak itu mengalami kesukaran bernafas,” katanya menurut kenyataan itu, memetik Metro UK.

Ekoran itu, ibunya telah memberhentikan kereta di tepi jalan dan terus menghubungi talian kecemasan 911.

Sejurus anggota bomba tiba di lokasi kejadian, mereka mendapati keadaan kanak-kanak itu bertambah parah dan terpaksa dikejarkan ke Hospital St John di Tampa dengan menggunakan pengangkutan udara.

Difahamkan, mereka terpaksa memanggil helikopter disebabkan faktor yang tidak diketahui terhadap keadaan budak itu selepas terkena bisa ikan keli.

“Disebabkan usia budak itu masih muda, kami tidak mengetahui sejauh mana bisa ikan keli itu ‘menjalar’ serta berapa dalam kedalaman luka tusukan itu.

“Saya telah berkhidmat selama 20 tahun di unit kecemasan dan saya tidak pernah mendengar berita seperti ini sepanjang bertugas,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kanak-kanak itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Bisa ikan keli

Kebanyakan spesies ikan keli berbisa mempunyai duri yang tajam dan mengeluarkan bisa pada bahagian belakang sirip dorsal mereka, menurut penyelidik dari Universiti Michigan, merujuk Metro.

Menurutnya seperti yang dilaporkan Metro, ia akan mengeluarkan sengatnya apabila berasa terancam. Duri yang menusuk mangsa itu akan melepaskan bisa ke dalam luka,

Difahamkan, luka akibat disengat ikan keli jarang membawa kepada kematian, namun ia boleh menyebabkan jangkitan kuman dan kulat selama berbulan-bulan.

Sumber: Metro UK

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?