Seorang warga emas ditahan polis selepas guna duit mainan untuk beli ayam di sebuah pasar di Tulang Bawang Barat, Lampung, Indonesia baru-baru ini.
Menurut laporan Tribun, warga emas berusia 72 tahun tersebut melakukan perkara itu kerana mahu mendapatkan duit yang sebenar.
Difahamkan, pada asalnya suspek mendakwa bahawa duit mainan yang digunakannya itu diberi oleh majikannya sebagai upah kerja.
Namun Pegawai Unit Siasatan Jenayah Polis Tulang Bawang, AKP Wido Dwi Arifiyan Zaen berkata, suspek rupanya berbohong dan duit mainan itu bukanlah pemberian majikan seperti yang didakwa.
“Motif warga emas itu menipu adalah untuk mendapatkan semula duit sebenar, setelah ia mendapatkan duit mainan itu di tepi jalan,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketika disoal siasat, suspek akhirnya buka mulut dedah hal sebenar bahawa duit mainan bernilai RM133 itu bukanlah upah dari majikannya.
Sebaliknya dia mengaku bahawa duit mainan itu dikutipnya di tepi jalan untuk beli ayam dan dapatkan wang sebenar (mungkin dalam bentuk baki).
Jelas Wido, suspek membuat pengakuan setelah videonya yang mendakwa terima duit mainan daripada majikan itu tular di media sosial.
Sehubungan itu, pihak polis meminta orang awam tidak menyebarkan lagi video tersebut dan suspek turut memohon maaf secara terbuka atas pembohongannya.
“Saya meminta maaf kepada seluruh lapisan masyarakat Indonesia mengenai duit mainan yang tular. Duit itu saya jumpa di tepi jalan dan ia bukannya hasil (upah) menebang tebu.
“Itu semua merupakan rekaan saya sendiri. Sekali lagi saya memohon maaf sebesar-besarnya,” kata suspek, memetik Tribun.
Sebelum itu, tular video di media sosial tentang seorang warga emas yang mendakwa diberikan gaji dengan duit mainan oleh majikannya.
Video itu telah dimuat naik di laman Instagram @undercover.id., lapor Tribunnews.com
Sumber: Tribunnews.com