Siakap Keli
kereta tenggelam dalam air
Gambar via Pinterest/ Miami Lake Automall

Wajib Ambil Tahu Sebagai Ikhtiar, Ini Cara Nak Selamatkan Diri Jika Kereta Tenggelam Dalam Air

Bayangkan bila terpaksa berhadapan dengan situasi kereta tenggelam dalam air, apa tindakan yang boleh kita lakukan dalam tempoh waktu yang singkat?

Malang tidak berbau, hampir setiap hari kemalangan maut melibatkan kereta dilaporkan berlaku di seluruh dunia. Tambah merisaukan, kemalangan berkaitan kereta yang tenggelam di dalam sungai atau tasik juga semakin meningkat.

Seperti yang dilaporkan di media, kebanyakan mangsa yang berada di dalam situasi tersebut tidak sempat menyelamatkan diri dan meninggal dunia akibat lemas.

Malah, dalam satu kajian yang pernah dijalankan oleh profesor dari Amerika Syarikat, John Hunsucker, mendapati bahawa kira-kira 350 orang meninggal dunia setiap tahun dalam kenderaan yang tenggelam.

Tidak dapat dibayangkan bagaimana jika berada dalam situasi tersebut kerana ia boleh berlaku dengan sekelip mata sahaja.

Pun begitu, walaupun peratusan untuk selamat di dalam keadaan tersebut tidak begitu tinggi namun tindakan pantas dan terkawal mungkin boleh menyelamatkan diri.

Bagaimana nak selamatkan diri?

Pakar-pakar di seluruh dunia telah mengutarakan pelbagai pendapat dan melakukan ujian untuk menentukan pendekatan terbaik bagi menyelesaikan permasalahan ini.

Kebanyakan dari mereka menyarankan agar individu yang terlibat perlu keluar secepat mungkin dari kenderaan. Tetapi tenaga yang banyak diperlukan untuk berenang dan mungkin untuk melawan kesejukan.

Jika kereta tenggelam dengan cepat, lawan panik dan hidupkan semua lampu kenderaan jika masih berfungsi. Ia bagi membantu penyelamat dapat mengesan keberadaan anda.

Sesetengah orang mencadangkan bahawa tingkap perlu ditutup untuk memperlahankan kadar kemasukan air ke dalam kereta. Teorinya ialah tekanan di dalam dan di luar perlu disamakan sebelum berenang keluar atau cuba membuka pintu.

Bagaimanapun, dalam ujian lain, langkah itu sebenarnya boleh mengambil masa terlalu lama dan mustahil untuk melarikan diri.

Jadi tindakan terbaik adalah dengan mencuba untuk keluar secepat mungkin.

Untuk melakukannya, beberapa perkara mustahak perlu dilakukan dan diberi perhatian.

Menurut presiden syarikat Stark Survival Co, Ken Burton, langkah pertama yang perlu dilakukan adalah membuka tingkap secepat yang mungkin (jika boleh sebelum air masuk ke dalam kereta).

Ketika itu tenangkan diri dan jangan buka tali pinggang keledar sehingga air di dalam kereta naik hingga ke paras dagu anda. Kemudian tarik nafas perlahan-lahan dan jangan cuba untuk membuka pintu sehingga air berhenti membanjiri kereta.

Pada mulanya, air di luar akan memberi tekanan pada pintu sehingga anda tidak dapat membukanya dari dalam.

Jika tidak boleh membuka pintu, pecahkan tingkap sisi. Jangan sekali-kali memecahkan cermin hadapan kerana ia mempunyai beberapa lapisan yang lebih tebal.

Selain itu, jangan tanggalkan tali pinggang keledar sehingga pintu atau tingkap dapat dibuka.

Apabila pintu atau tingkap sudah terbuka, pegang stereng sebelum membuka tali pinggang keledar dan anda memerlukan sesuatu untuk memastikan anda terikat, supaya boleh menarik diri keluar dari kereta.

Sebaik sahaja keluar dari kereta, biarkan badan anda membawa anda naik ke permukaan.

Walaupun keadaan mungkin akan berbeza jika berada dalam situasi yang sebenar tetapi ia adalah ikhtiar terakhir yang boleh dilakukan untuk menyelamatkan diri.

BACA: Hampir Mustahil Nak Buka Pintu Bila Kereta Baru Nak Tenggelam, Lelaki Ini Jelaskan Kenapa 

Sumber: The Washington Post, Smart Driving

Sofea

There's always another side to every story