Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Lembu Korban Terlepas Masuk ‘Highway’, Warga Emas Retak Tulang Belakang Ditanduk Depan Rumah

Sofea
lembu korban masuk 'highway'
Gambar: eyda.rahm4n

Lembu untuk ibadah korban terlepas masuk highway

Kuala Lumpur – Seorang lelaki berusia 81 tahun mengalami retak tulang belakang dan sakit pada bahagian belakang bahu selepas ditanduk seekor lembu di hadapan rumahnya di Bandar Manjalara, Kepong pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata dalam kejadian yang berlaku pada 10.15 pagi itu, mangsa sedang berdiri di hadapan pagar rumah bersiap untuk keluar.

“Ketika itu mangsa telah melihat seekor lembu sedang berlari di taman berdekatan rumahnya.

“Namun secara tiba-tiba lembu tersebut telah berlari ke arah mangsa dan bertindak menanduk perut mangsa sehingga menyebabkannya terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurutnya lagi, mangsa kini sedang menerima rawatan dan ditahan di Hospital Desa Park City Medical Centre untuk pemerhatian lanjut.

Sementara itu beliau juga menjelaskan bahawa kejadian itu berkait dengan video tular yang memaparkan seekor lembu yang dipercayai terlepas di kawasan berhampiran Lebuhraya MRR2 arah Sungai Buloh.

Jelasnya lembu tersebut sebenarnya telah disedekahkan oleh orang awam kepada pengurusan Masjid Anas Bin Malik, Kampung Selayang Lama untuk tujuan korban tetapi ia terlepas dari ikatan sewaktu proses mencucuk hidung.

“Satu laporan polis telah dibuat oleh pengerusi Masjid Anas Bin Malik, Kampung Selayang Lama pada Jumaat berkaitan lembu yang ditambat di kawasan masjid terlepas lari dari ikatan.

“Pihak polis percaya bahawa lembu yang terlepas lari ini adalah merupakan lembu yang telah menyebabkan kecederaan kepada mangsa,” katanya.

Tambahnya lagi, kelindan lori yang dirakam di dalam video tular tersebut bukan pemilik lembu sebaliknya beliau hanya membantu untuk menangkap dan menambat lembu tersebut pada tiang elektrik di tepi Lebuhraya MRR2.

Tetapi lembu tersebut bertindak agresif sehingga menyebabkannya terlepas dari tambatan dan lari semula ke atas jalan menuju ke arah Sungai Buloh.

Kes tersebut telah disiasat di bawah seksyen 289 Kanun Keseksaan kerana kecuaian melepaskan haiwan sehingga mendatangkan ancaman bahaya kepada nyawa orang awam.

Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian itu dan juga tahu keberadaan haiwan tersebut diminta untuk tampil atau menghubungi Pegawai Penyiasat kes iaitu Sjn Nor Hafizullah Norahim di talian 017-2232031 atau Pusat Kawalan IPD Sentul di talian 03-40482222.

Sumber: Polis KL

Baca: Sambil Beli Buku Pun Boleh Bersedekah, Ini Cara Nak Beli Buku Dengan Rebat 10%