Siakap Keli
Gambar via Kompas.com

Dihempas Jurulatih 27 Kali, Pelajar Judo Berumur Tujuh Tahun Dilapor Maut

Seorang kanak-kanak berumur 7 tahun dilapor maut akibat dihempas pelatih 27 kali di sebuah pusat latihan seni bela diri Judo. Difahamkan, pelatih tersebut telah menerima hukuman penjara selama sembilan tahun pada Rabu lalu, 29 Jun 2022. 

Memetik Kompas.com, pelajar tersebut dikejarkan ke hospital berhampiran di bandar Taichung pada April 2021 setelah dihempas 27 kali oleh pelatih tersebut.

Mangsa mengalami koma selama 70 hari dengan pendarahan pada bahagian otak dan seterusnya mengalami masalah pernafasan serta kegagalan fungsi pada beberapa bahagian organ. Ibu bapa mangsa akhirnya memutuskan untuk menanggalkan alat bantuan pernafasan. 

Mahkamah di daerah Taichung pada hari Rabu, 29 Jun 2022 lau telah menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun kepada tertuduh dengan mengatakan bahawa dia memaksa budak lelaki itu untuk mematuhi arahannya walaupun berkemungkinan boleh membawa kepada kematian. 

Walau bagaimanapun, ibu bapa mangsa menganggap hukuman tersebut tidak setimpal dengan apa yang telah dia lakukan kepada anak mereka dan akan failkan aduan. 

“Pada pendapat saya, hukuman itu terlalu ringan dan sepatutnya dijatuhi hukuman seumur hidup. Kelakuannya sangat-sangat mengerikan dan tidak pernah mengaku salah, malah menyalahkan anak saya,” katanya kepada pemberita, lapor Kompas.com. 

Difahamkan, kanak-kanak itu telah menolak arahan jurulatih itu untuk berlatih salah satu gerakan dalam seni mempertahankan diri. Oleh itu, dia bertindak kasar terhadapnya dengan menggunakan beberepa teknik gerakan judo termasuk ‘slam’ bahu. 

Kanak-kanak itu sempat mengeluh sakit kepala namun tidak dihiraukan oleh pelatih tersebut dan terus memukulnya dengan mengatakan bahawa dia hanya berpura-pura. Kanak-kanak itu turut dilaporkan muntah selepas dihempas berkali-kali. 

Selepas mengarahkan pelajar lain membersihkan muntahnya, pelatih tersebut meneruskan tindakannya memukul budak lelaki itu hingga benar-benar tidak berdaya lagi. 

Bapa saudara kepada mangsa dilaporkan turut menghadiri sesi latihan tersebut ketika kejadian malang itu berlaku, namun dia dilaporkan gagal menghentikan perbuatan pelatih. 

Menurut media tempatan, ibu bapa mangsa mengatakan anak mereka telah dihempas sebanyak 27 kali. Pihak mahkamah juga mengatakan kecederaan di bahagian kepala mangsa adalah disebabkan oleh hentakan yang kuat pada lantai. 

“Dia telah melakukan tindakan latihan yang tidak wajar kepada kanak-kanak itu hingga dia meninggal pada usia yang sangat muda,” jelas Mahkamah, lapor Kompas.com.

BACA: Pencipta Telefon Bimbit Titip Pesan Kurangkan Skrol Skrin Telefon & “Get A Life”

BACA JUGA: Chinese Rose Boleh Disemai Dengan Hanya Menggunakan Styrofoam, Begini Caranya

Sumber: Kompas.com

Faiz Mustafa