Siakap Keli
Gambar: The Busy Buddies

FIFA Perkenal Syarat Baru Pemain Pinjaman, Elak Kelab Besar Himpun Terlalu Ramai Pemain

Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) dilapor memperkenal peraturan dan syarat baharu berkenaan sistem pemain pinjaman, yang dilapor berkuat kuasa bermula Julai ini.

Memetik kenyataan di laman web FIFA, pengenalan peraturan baharu ini dianggap penting dalam pasaran perpindahan pemain dan usaha ini sudah dijalankan sejak 2017 lagi. Peraturan ini pada awalnya dirancang untuk dikuatkuasakan pada Julai 2020, namun terpaksa ditangguhkan selepas dunia dilanda pandemik Covid-19.

Hasil perbincangan antara pemegang taruh dalam FIFA, peraturan baharu pemain pinjaman ini dibuat bagi memastikan tiga objektif utama berjaya dicapai. Objektif-objektif tersebut melibatkan pembangunan pemain muda, mempromosikan persaingan yang seimbang dan mengelakkan satu-satu kelab menghimpun pemain.

Untuk memastikan kesemua objektif diatas tercapai, syarat-syarat peraturan baharu meliputi lima perkara dibawah:

Pertama, satu perjanjian bertulis yang menjelaskan terma-terma pinjaman, seperti tempoh pinjaman dan syarat-syarat kewangan yang terlibat diperlukan.

Kedua, syarat mimimun tempoh pinjaman adalah antara dua tempoh pendaftaran dan tempoh maksimum pinjaman adalah satu tahun.

Ketiga, melarang sub-pinjaman pemain profesional yang sudahpun dalam tempoh pinjaman kepada kelab ketiga.

Keempat, jumlah pemain pinjaman antara kelab yang sama dalam satu musim dihadkan, iaitu satu kelab hanya dibenarkan menghantar tiga pemain pinjaman kepada satu kelab lain dan satu kelab hanya dibenarkan membawa masuk tiga pemain pinjaman daripada satu kelab lain.

Kelima, jumlah pemain pinjaman yang dibenarkan untuk sesebuah kelab dalam satu musim dihadkan.

Bagi memastikan proses syarat kelima ini berjalan lancar, FIFA menetapkan tempoh transisi seperti berikut:

Pertama, bermula 1 Julai 2022 hingga 30 June 2023, satu kelab hanya dibenarkan membawa masuk maksimum lapan pemain pinjaman dan menghantar keluar maksimum lapan pemain pinjaman dalam satu musim.

Kedua, bermula 1 Julai 2023 hingga 30 June 2024, syarat yang sama dikekalkan tetapi jumlah pemain dikurangkan kepada tujuh.

Ketiga, bermula 1 Julai 2024, syarat yang sama dikekalkan tetapi jumlah pemain dikurangkan kepada enam.

Manakala untuk pemain berumur 21 tahun dan ke bawah serta kelab pembangunan dikecualikan daripada syarat ini.

Bagi peringkat saingan domestik, pihak yang berkaitan akan diberikan tempoh masa selama tiga tahun untuk melaksanakan peraturan-peraturan baharu ini supaya selari dengan peraturan yang dikuatkuasakan di peringkat antarabangsa.

BACA: Tak Perlu “Thailand Pass”, Insurans Kesihatan 10 Ribu Dollar Untuk Masuk Thailand Bermula 1 Julai

BACA: “Kita La Sedih Bagi Anak Makan Macam Tu”, Wanita Sebak Bagi Anak Makan Telur Setiap Hari Selepas Suami Kemalangan

Sumber: FIFA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.