Siakap Keli

Kontrak Baharu Sehingga 2025, Mo Salah Kini Penerima Gaji Tertinggi Liverpool, RM 1.86 Juta Seminggu

Bintang bola sepak dunia, Mohamed Salah menamatkan spekulasi mengenai masa depannya apabila bersetuju untuk menandatangani kontrak baharu bersama gergasi Liga Perdana Inggeris, Liverpool sehingga 2025. Menerusi kontrak tersebut, Salah dilaporkan akan menerima gaji yang sangat lumayan iaitu 350,000 pound atau kira-kira RM 1.86 juta seminggu.

Dengan gaji baharu tersebut, beliau kini merupakan penerima gaji tertinggi dalam kelab, yang sebelum ini dipegang oleh pertahanan kebal, Virgil Van Dijk.

Sejak berpindah ke Liverpool pada 2017, penyerang Mesir itu menjaringkan 156 gol dan menyumbang 63 bantuan gol dalam 254 penampilan kelab.

Kontrak lama pemain berusia 30 tahun itu dilaporkan tamat pada musim panas tahun depan, namun kelab dan ejenya berdepan dengan beberapa isu untuk menandatangani kontrak baharu. Desas-desus yang bertiup menyebut bahawa permintaan gaji yang tinggi oleh kem Salah antara perkara yang menyukarkan proses rundingannya dengan Liverpool ketika itu.

Bagaimanapun, keputusan Salah untuk menyambung kontraknya memberikan kelegaan kepada pengendali Liverpool, Jurgen Klopp yang sebelum ini kehilangan salah seorang tonggak utama, Sadio Mane yang berpindah ke Bayern Munich.

”Ini adalah hadiah yang sangat istimewa untuk para peminat. Saya pasti ada yang meraikannya, lebih-lebih lagi hari ini adalah hari hujung minggu.

”Keputusan ini adalah yang terbaik untuk kami dan sudah tentu untuk beliau juga. Salah milik kami, kelab ini adalah kelab beliau buat masa sekarang.

”Tiada keraguan lagi bahawa Salah akan memberikan tahun-tahun yang terbaik di masa akan datang. Lima tahun pertamanya di sini, beliau melakukan sesuatu yang bertaraf legenda,” kata Klopp.

Sejak berpindah daripada AS Roma, Salah merupakan salah seorang daripada tonggak utama dalam revolusi Klopp untuk membawa Liverpool kembali menjadi pencabar utama di peringkat Eropah.

Beliau bersama-sama barisan pemain yang lain berjaya membantu Klopp untuk memenangi semua trofi utama peringkat kelab yang ditawarkan sama ada di dalam liga domestik mahupun di saingan utama Eropah.

Paling diingati adalah Liverpool berjaya menamatkan kemarau 30 tahun untuk menjulang kejuaraan EPL pertama dan kejayaan menambah trofi keenam UCL untuk menjadikan Liverpool sebagai kelab Inggeris paling berjaya di saingan Eropah.

Salah dalam pada itu berkata, disamping menjadi penerima gaji tertinggi Liverpool, beliau juga tidak sabar untuk meneruskan tugasnya bersama kelab itu dan menyasarkan untuk memenangi sebanyak mungkin kejuaraan sepanjang kontrak baharunya ini.

”Saya merasa sangat gembira dan tak sabar untuk menambah koleksi trofi bersama kelab. Ia hari yang indah buat semua.

”Ia mungkin mengambil sedikit masa, untuk menandatangani kontrak baharu, tetapi kini ia sudah diselesaikan dan kami perlu fokus dengan cabaran musim akan datang,” katanya.

Liverpool sebelum ini turut membawa masuk penyerang muda meningkat naik, Darwin Nunez untuk menambah sengat barisan serangan menjelang saingan liga akan datang.

Dengan ketiadaan Mane, Salah dijangka akan bergandingan dengan barisan serangan baharu bersama-sama Nunez dan juga Luiz Diaz.

BACA: “Kita La Sedih Bagi Anak Makan Macam Tu”, Wanita Sebak Bagi Anak Makan Telur Setiap Hari Selepas Suami Kemalangan

Sumber: AFP

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.