Siakap Keli
Pawang Nong pernah ditembak dan peluru hanya tembus poket?

Kisah Pawang Nong: Pernah Ditembak Dan Peluru Hanya Tembus Poket?

Pawang Nong pernah ditembak dan peluru hanya tembus poket?

Sejak filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan ditayangkan, satu fenomena telah tercetus dengan pelbagai reaksi menarik dari para penonton ketika sebelum dan selepas menonton filem ini.

Ada yang datang ke panggung wayang dengan berbusana pendekar melayu, tidak kurang juga yang bertanjak kemas dan kesan dari filem Mat Kilau ini, ramai yang mendaftarkan anak mereka ke kelas pencak silat bagi mengekalkan seni mempertahankan diri bangsa melayu.

Ternyata, rakyat Malaysia memang dahagakan sebuah filem yang berkualiti seperti ini. Walaupun dalam ekonomi negara yang tidak menentu, kita masih boleh membawa keluarga menonton filem Mat Kilau yang sudah mencatat kutipan paling tinggi dalam sejarah perfileman Malaysia.

Tapi kali ini, penulis bukan mahu kongsikan kisah Mat Kilau, tetapi salah seorang rakan seperjuangan Mat Kilau iaitu Pawang Nong. Watak Pawang Nong dilihat tiada dalam filem Mat Kilau kerana kita harus faham ini hanyalah filem adaptasi dari sejarah Mat Kilau dan pengarahnya, Syamsul Yusof juga berkata ini adalah filem fiksyen yang tidak mengikut sejarah sebenar Mat Kilau.

Latar Belakang Pawang Nong

Pawang Nong atau nama sebenarnya Haji Nong Taib bin Santan iaitu salah seorang pengikut Mat Kilau dan dikatakan pernah menuntut dengan pahlawan Pahang itu serta bersama-sama menentang penjajah. Pawang Nong juga merupakan Pawang Diraja Pahang satu masa dahulu.

Dilahirkan di Kampung Sempiat, Tanjung Besar, Kuala Lipis pada tahun 1874 dan telah meninggal dunia pada 10 November 1977 di Kampung Ulu Cheka ketika usianya menjangkau 103 tahun. Orang ramai boleh melawat makam Pawang Nong di perkarangan Masjid Kampung Ulu Cheka, Jerantut.

Pawang Nong juga mempunyai dua orang isteri dan dikurniakan dengan 11 orang anak. Isteri pertamanya bernama Patam Mat Sama yang dikurniakan 8 orang anak. Manakala isteri kedua beliau bernama Hajah Halimat Binti Mak Long yang dikurniakan 3 orang anak.

Jasa Pawang Nong

Selain daripada menentang penjajah bersama Mat Kilau, Pawang Nong juga pengasas atau pembuka Kampung Ulu Cheka bersama tujuh orang kawannya pada 7 Julai 1907. Ini bermakna, Kampung Ulu Cheka telah berusia 115 tahun sejak pembukaannya.

Pawang Nong amat dikenali di kampung itu sebagai Pawang Utama selain menjadi Pawang Diraja Pahang. Jasa-jasa yang lain, Pawang Nong juga pengasas seni silat cekak di kampung Ulu Cheka serta merupakan pahlawan Melayu Pahang yang menentang penjajah komunis dan tentera Jepun di daerah itu. Penduduk setempat lebih mesra memanggilnya dengan gelaran Aki We atau Moyang We.

Kehebatan Pawang Nong

Selain dari kebolehan beliau mengubati pelbagai jenis penyakit dengan kaedah rawatan tradisional, beliau juga diceritakan mempunyai ilmu kebal serta ilmu kalis besi. Dari sumber lisan yang diceritakan orang tua dahulukala, Pawang Nong pernah ditangkap komunis, tangan beliau dirantai dengan besi. Namun kehebatan ilmunya, beliau dengan mudah melepaskan diri dari ikatan besi tersebut.

Beliau juga dikatakan pernah ditembak tapi peluru tersebut hanya berjaya tembus poket pakaiannya sahaja dan tidak sedikit pun mencederakan tubuh Pawang Nong. Selain dari itu, beliau juga dikatakan berjaya menangkap orang minyak yang berleluasa sekitar Kampung Ulu Cheka dan Kampung Damak pada waktu itu.

Dikhabarkan juga melalui cerita lisan orang tua-tua bahawa ketika zaman penjajahan tentera Jepun, beliau berjaya memagari dari dilihat atau dicerobohi oleh tentera Jepun untuk memasuki kawasan perkampungan dari Kampung Damak sehinggalah ke Kampung Ulu Cheka. Oleh kerana kemasyhuran nama beliau ketika itu, ramai yang datang untuk belajar dan berguru dengan beliau khususnya dalam bidang perubatan tradisional.

Makam beliau boleh dilawati di Masjid Kampung Ulu Cheka, Jerantut, Pahang. Atas jasa-jasa beliau ini sebuah sekolah rendah kebangsaan dinamakan sebagai Sekolah Rendah Kebangsaan Pawang Nong Ulu Cheka bagi mengingati dan mengenang jasa beliau dalam mempertahankan dan memperjuangkan orang-orang Melayu suatu masa dahulu.

Begitulah, serba-sedikit kisah latar belakang dan kehebatan Pawang Nong yang dulu bersama-sama Pahlawan Mat Kilau memperjuangkan nasib bangsa dan agama dari terus dijajah anasir luar yang cuba merampaskan kedaulatan negara ini.

Video: RTM

Sumber: Pejabat Daerah & Tanah Jerantut

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)