Siakap Keli
Gambar: Friends of PDRM

Tinggalkan Jasa Demi Negara, Bad Si Anjing K9 Milik Polis Diberi Penghormatan Terakhir

Tinggalkan jasa demi negara, seekor anjing K9 di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 3 petang semalam.

Digelar sebagai Bad, anjing itu dikatakan mati selepas bertarung nyawa akibat sakit tua.

Menurut Friends of PDRM, Bad yang berumur 13 tahun 8 bulan itu telah menabur khidmat bakti di unit itu sejak 4 Ogos 2011.

Gambar: Friends of PDRM

“Berasal dari Jerman, anjing jantan spesis Labrado ini merupakan anjing yang pakar dalam pengesanan pelbagai jenis dadah di bawah seliaan Koperal Willen anak Slamping @ Sirampin.

“Dengan kemahirannya, sepanjang perkhidmatan BAD telah berjaya menghasilkan dua kejayaan besar dalam menumpaskan sindiket dadah pada 2012 dan 2014,” kata Friends of PDRM menerusi perkongsian di Facebook.

Tambah perkongsian itu, Bad telah disemadikan berselebahan rakan perjuangannya, Tho yang telah mati pada 19 September 2020.

Gambar: Friends of PDRM

Penghormatan terakhir telah diberikan kepada Bad bagi menghargai jasa dan khidmat baktinya selama ini.

“Bagi menghargai jasa dan khidmat bakti Bad, ASP Chia Che Chau, Pegawai Turus D6, JSJ IPK Pahang mewakili Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang dan Inspektor Nur Aishah A. Zulkefli, Pegawai D6 JSJ IPK Pahang bersama anggota K9, D6 JSJ IPK Pahang telah memberi penghormatan terakhir,” katanya.

Gambar: Friends of PDRM

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, YDH SAC Mohd Yusri Othaman memaklumkan bahawa pihak JSJ IPK Pahang akan merealisasikan “K9 Memorial Park” dengan menaik taraf kawasan tersebut yang kini telah menjadi tempat persemadian dua ekor anjing K9 yang berbakti kepada negara.

Sumber: Friends of PDRM

Sofea

There's always another side to every story