Siakap Keli
pesara guru maut
Gambar: Astro Awani

Wanita Dilapor Maut Dipercayai Ditikam Anak Sendiri Di Bahagian Leher 

Tangga Batu – Seorang pesara guru dilaporkan maut selepas dipercayai ditikam di leher oleh anak kandungnya dalam kejadian di Kampung Paya Luboh kira-kira jam 3 petang tadi.

Memetik laporan Astro Awani, mangsa yang baharu kematian suami kira-kira sebulan lalu telah ditemui di dalam bilik tidur kediamannya dalam keadaan berlumuran darah.

Difahamkan, mangsa dipercayai ditikam oleh anak lelakinya yang berusia 40-an menggunakan sebilah pisau dan disahkan maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian leher.

Menurut seorang saksi yang juga jiran mangsa, kejadian disedari selepas adik perempuan suspek yang turut berada di dalam kediaman berkenaan menjerit meminta tolong sebelum orang ramai membantu menahan suspek.

“Tiba-tiba sahaja saya terdengar bunyi suara adik perempuan suspek ini menjerit meminta tolong sebelum saya bergegas ke rumahnya dan nampak dia sedang berlari dalam keadaan panik dan maklumkan ibunya ditikam.

“Saya kemudian minta bantuan jiran lain dan juga sesiapa sahaja yang lalu untuk panjat pagar rumah mangsa ini dan mereka terus menahan suspek dan difahamkan suspek pun hanya mendiamkan diri dan tidak lari.

“Apabila dapat kunci rumah, saya terus bergegas masuk ke dalam rumah dan nampak mangsa terbaring di dalam bilik tidur rumah dalam keadaan berlumuran darah,” katanya.

Tambahnya, dia juga mengakui terkejut dengan kejadian berkenaan memandangkan suspek tidak pernah menunjukkan tanda-tanda bersikap berang.

“Memang tahu dia penagih tetapi tidak pernah nampak dia mengamuk ke apa sebab dia memang baik, ramah juga dengan jiran-jiran dan orang sekeliling memang kenal dia.

“Suspek ni anak sulung dan memang tinggal berdua sahaja dengan ibunya (mangsa) tetapi adik beradik yang lain selalu juga datang, dan ayahnya juga baru sahaja meninggal lebih kurang sebulan lepas,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut tetapi.

Bagaimanapun, dia enggan mengulas lanjut memandangkan siasatan masih dijalankan.

Sumber: Astro Awani

Sofea

There's always another side to every story