Siakap Keli
roboh rumah guna jengkaut
Gambar: Kompas.com

Lelaki Nekad Robohkan Rumah Guna Jengkaut Lepas Bercerai, Tak Nak Bagi Bekas Isteri Duduk

Lelaki Nekad Robohkan Rumah Guna Jengkaut Lepas Bercerai, Tak Nak Bagi Bekas Isteri Duduk

PAMEKASAN, INDONESIA – Seorang lelaki di Kampung Larangan Slampar di kawasan Tlanakan Daerah Pamekasan, Jawa Timur bertindak merobohkan rumahnya selepas bercerai dengan bekas isterinya, lapor Kompas.com.

Lelaki itu telah merobohkan rumah yang dibinanya bernilai Rp 500 juta (RM150,000) menggunakan sebuah jengkaut.

Lelaki tersebut menyatakan bahawa dia bertindak sedemikian kerana tidak mahu rumahnya itu diduduki oleh bekas isterinya.

Bapa saudara lelaki tersebut berkata, berlakunya pengantaraan antara anak saudaranya dengan Mahkamah Agama Pamekasan supaya rumah tersebut tidak dirobohkan setelah keputusan cerai dibuat. Namun, lelaki tersebut di mana ketika ini tinggal bersama dengan orang tuanya tetap berkeras untuk merobohkannya juga.

“Perbincangan bukan sahaja dibuat di mahkamah agama sahaja, tetapi telah dibuat bersama dari wakil kedua keluarga. Namun, anak saudara saya tetap dengan pendiriannya dan masih ingin merobohkan rumah tersebut,” kata bapa saudara lelaki itu.

Malah, tiga jam sebelum perobohan, beliau sekali lagi menghubungi lelaki itu dengan harapan anak saudaranya akan berubah fikiran dan tidak mahu merobohkan rumahnya. Tetapi lelaki itu masih berkeras.

“Dia seolah-olah tidak merasa kerugian sedikit pun untuk merobohkan rumahnya. Akhirnya, peralatan berat untuk merobohkan rumah itu telah mendapat bantuan jiran dan saya sendiri,” tambahnya lagi.

Menurut bapa saudaranya, rumah itu dibina oleh lelaki itu sendiri hasil daripada wang pemberian ibu bapanya. Manakala tanah yang diduduki adalah harta pusaka ibu bapa bekas isterinya.

“Kami telah mencadangkan agar rumah itu diserahkan kepada dua anaknya, namun cadangan itu ditolak,” katanya.

Keluarga bekas isteri lelaki itu juga dilaporkan hanya menyaksikan rumah tersebut dirobohkan. Sementara itu, dua bekas abang ipar lelaki tersebut yang tidak mahu namanya didedahkan, enggan memberikan butiran lanjut akan kejadian itu.

“Perobohan itu telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak,” kata lelaki tersebut di lokasi kejadian.

Bekas isteri lelaki itu dimaklumkan tidak berada di tempat kejadian. Daripada maklumat yang telah dikumpul, bekas isteri lelaki itu telah melarikan diri ke rumah saudaranya selepas semua barang di rumahnya dibawa keluar dan ada juga barang yang diangkut ke rumah bekas suaminya.

Sumber: Kompas.com

Baca: Sambil Beli Buku Pun Boleh Bersedekah, Ini Cara Nak Beli Buku Dengan Rebat 10%

Nurlizah Khazani