Siakap Keli
langit bertukar hijau

Tular, Langit ‘Bertukar’ Hijau Sebelum Berlaku Ribut Gemparkan Warga Dakota, Amerika

Penduduk Dakota Selatan, Amerika Syarikat gempar dengan pemandangan langit yang bertukar warna menjadi hijau yang didakwa berlaku sebelum kejadian ribut melanda bandar Sioux Falls. Kejadian berkenaan turut menjadi tular di media sosial sejak Selasa lalu.

Difahamkan, cuaca buruk tersebut merupakan siri lanjut ribut bersambung termasuk angin yang melebihi 93 km/jam yang digelar sebagai ‘derecho’. 

Memetik Newsweek, beberapa gambar telah tular di media sosial memperlihatkan dengan jelas imej dramatik langit yang bertukar menjadi kehijauan beserta ribut yang menakutkan menghampiri Bandar Sioux pada waktu petang hari tersebut. 

Ahli meteorologi Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS), Cory Martin berkata bahawa fenomena langit bertukar kepada warna hijau adalah disebabkan oleh cahaya kemerahan dari Matahari yang tenggelam yang bertindak balas dengan titisan air biru di dalam awan ribut,  jelasnya di laman Twitter. 

“Ribut petir biasanya berlaku lewat petang apabila langit bertukar warna menjadi kemerah-merahan ketika Matahari perlahan-lahan mula tenggelam.

“Zarah dalam awan ribut dengan kedalaman yang luas dan kandungan air terutamanya, akan menyerlahkan cahaya biru. Apabila cahaya kemerahan yang bertaburan di atmosfera menerangi titisan air biru di awan, ia akan kelihatan bercahaya hijau,” katanya.

Dalam pada itu, lebih dari 28,000 penduduk telah terputus bekalan elektrik di Dakota Selatan ketika ribut melanda, walaupun kira-kira 20,000 telah pulih semula pada sebelah malamnya, menurut Newsweek Power Outage AS, lapor Newsweek. 

Seterusnya, ribut tersebut dilaporkan bergerak ke arah Air Terjun Sioux dari arah barat sebelum keluar dari negeri itu dan menuju ke Barat Daya Minnesota dan Barat Laut Lowa. 

Sumber: Newsweek

Faiz Mustafa