Siakap Keli
Penduduk dunia cecah 8 bilion pada November depan
Sumber: Google

Bilangan Penduduk Dunia Dijangka Cecah 8 Bilion Pada 15 November Ini

Bilangan Penduduk Dunia Dijangka Cecah 8 Bilion Pada 15 November Ini

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan bahawa bilangan penduduk dunia akan mencecah angka lapan (8) bilion pada 15 November tahun ini. Jangkaan awal juga mendapati bahawa India bakal mengatasi China sebagai negara dengan jumlah penduduk paling ramai di dunia.

Dalam laporan yang dikeluarkan pada Hari Penduduk Sedunia, PBB menjelaskan pertumbuhan penduduk global jatuh di bawah satu peratus pada tahun 2020 buat pertama kali sejak 1950.

Bagaimanapun, menurut unjuran terbaharu oleh PBB, populasi dunia berpotensi meningkat kepada sekitar 8.5 bilion pada tahun 2030. Kemudian, sebanyak 9.7 bilion pada tahun 2050 dan kemuncaknya sekitar 10.4 bilion pada 2080-an. Ia diramalkan akan kekal pada tahap tersebut sehingga tahun 2100.

Laporan itu menjelaskan lebih separuh daripada unjuran peningkatan penduduk sehingga 2050 akan tertumpu hanya pada lapan negara iaitu Congo, Mesir, Ethiopia, India, Nigeria, Pakistan, Filipina dan Tanzania.

Laporan “Prospek Penduduk Dunia 2022” itu menyebut bahawa populasi dunia semasa pada 7.942 bilion dan meramalkan ia akan mencecah angka lapan bilion pada pertengahan November.

Pengarah Bahagian Penduduk PBB, John Wilmoth dalam sidang media berkenaan juga berkata berdasarkan garis unjuran PBB, angka berkenaan akan dicapai 15 November.

Bagaimanpun beliau menambah bahawa tarikh yang dinyatakan tersebut bukanlah satu tarikh yang boleh dianggap sebagai tarikh angka lapan billion benar-benar akan dicapai.

Manakal Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mengatakan 2022 sebagai “tahun penting”, iaitu tahun kelahiran penduduk bumi yang kelapan bilion.

“Ini adalah satu kesempatan untuk meraikan kepelbagaian kita, mengiktiraf kemanusiaan kita bersama, dan mengagumi kemajuan dalam sektor kesihatan yang telah memanjangkan jangka hayat manusia dan secara mendadak mengurangkan kadar kematian membabitkan kumpulan ibu dan anak,” kata Guterres dalam satu kenyataan.

“Pada masa yang sama, ia adalah peringatan tentang tanggungjawab kita bersama untuk menjaga planet kita dan untuk merenung buat seketika di mana kita masih gagal memenuhi komitmen antara satu sama lain.” tambahnya.

Laporan itu mengunjurkan bahawa tahun depan India, dengan populasi semasa 1.412 bilion, akan mengatasi China, dengan populasi semasa 1.426 bilion, tetapi Wilmoth berkata terdapat lebih ketidakpastian mengenai tarikh tepat bila ia berlaku berbanding tarikh jangkaan penduduk Bumi yang mencecah lapan bilion pada 15 November.

Wilmoth berkata PBB menganjakkan tarikh itu ke hadapan dari tahun 2027, terutamanya hasil daripada banci di China pada tahun 2020. India telah merancang bancinya pada 2021, tetapi dia berkata ia tertangguh akibat wabak koronavirus yang melanda dunia. PBB akan menilai semula unjurannya selepas hal ini berlaku.

BACA: Supermoon, Bulan Berada Kedudukan Paling Dekat Dengan Bumi Sebentar Tadi

Sumber: NBC NEWS, News.UN

Nurul Nazihah