Siakap Keli

Status Thor Love and Thunder: Belum Ada Tarikh Tayangan Ditetapkan Di Malaysia

Thor Love and Thunder: Belum Ada Tarikh Tayangan Ditetapkan Di Malaysia

Susulan penangguhan tayangan Marvel Thor: Love and Thunder, pihak Golden Screen Cinema (GSC) memaklumkan bahawa status tayangan filem itu kini adalah To be Announced (TBA) atau tarikhnya masih lagi belum ditetapkan.

Menerusi kenyataan ringkas di Facebook, GSC berkata perkara itu dimaklumkan oleh pihak Disney.

“Kami memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang berlaku dan sangat menghargai kesabaran anda sementara kami menunggu lebih banyak lagi kemas kini dari pihak Disney,” kata GSC.

Sebelum ini, GSC memaklumkan bahawa tayangan filem itu yang sepatutnya dijadualkan pada 7 Julai 2022 ditangguh kepada tarikh baharu iaitu pada 21 Julai 2022.

Susulan itu juga, mereka terpaksa mengembalikan semula wang kepada orang ramai yang telah membeli tiket awal secara dalam talian.

“Pada sesiapa yang telah membeli tiket awal secara dalam talian, wang anda akan dikembalikan dalam tempoh 14 hari bekerja.

“Anda tidak perlu melakukan apa-apa dan hanya perlu menunggu duit itu dikembalikan,” katanya.

Selain Malaysia, tayangan filem Marvel itu turut ditangguhkan di Brunei. Sebab mengapa penangguhan itu berlaku masih belum dapat dipastikan kerana tiada pengesahan dari pihak panggung dan Disney sendiri.

Peminat Marvel Cinematic Universe (MCU) sudah pasti tidak sabar menantikan filem Thor ini selepas dihidangkan dengan Dr.Strange Multiverse of Madness.

Sumber: GSC

Sofea

There's always another side to every story