Siakap Keli
triton guna siren polis
Gambar via Sinar Harian

Tular Triton Guna Siren Di Lebuh Raya, PDRM Sahkan Ia Kenderaan Polis

Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak mengesahkan sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton yang guna siren dan lampu kecemasan di lebuh raya seperti yang tular baru-baru ini adalah milik pihak berkuasa berkenaan, lapor Sinar Harian.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, kenderaan pacuan empat roda itu dinaiki oleh anggota polis yang sedang menjalankan tugas di KM239 Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke selatan ketika itu.

“Pada ketika itu, sepasukan pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah berjaya menangkap suspek dua lelaki di daerah Taiping kerana terlibat dalam satu sindiket curi kenderaan mewah.

“Pasukan tersebut bersama-sama suspek yang ditahan terus dibawa ke IPK perak untuk tujuan siasatan lanjut.

“Atas faktor keselamatan serta tugas rasmi, pasukan serbuan tersebut telah menggunakan siren dan lampu kecemasan bagi mendapat laluan pantas ketika melalui laluan yang sesak,” katanya dalam satu kenyataan, memetik Sinar Harian.

Jelas Mior, berdasarkan video tular berdurasi 14 saat tersebut, pihaknya tidak mengesan sebarang salah guna kuasa atau salah laku seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan untuk menyemak terlebih dahulu dengan pihak berwajib sekiranya berlaku kejadian sedemikian rupa supaya tidak menyebabkan kekeliruan.

Dalam masa sama, pihaknya optimis akan terus menggandakan operasi bagi membanteras kegiatan jenayah yang berlaku di negeri itu.

Sumber: Sinar Harian

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?