Siakap Keli
tempat best penang

“Tak Perlu Naik Jambatan,” Ini 10 Tempat Best ‘Tersembunyi’ Kat Penang Tapi Ramai Belum Tahu

Bestnya pergi bercuti!! Macam ni lah reaksi ramai orang kalau dapat peluang untuk merehatkan diri daripada kesibukan kerja, sekolah dan macam-macam lagi komitmen lain. Tapi, bila dah dapat peluang bercuti tu, masih ada yang tak tahu destinasi ingin dituju. Jangan risau, banyak je tempat percutian dalam Malaysia ni yang best-best tau. Salah satunya ialah Pulau Pinang.

Pulau yang terkenal sebagai syurga makanan ini selalu menjadi tempat tumpuan ramai orang tidak kira pelancong dalam mahupun luar negara. Memang seronok bercuti dengan yang tersayang. 

Biasanya kalau nak melancong ke sana, ramai akan membayangkan perlu menempuh jem di laluan Jambatan Pulau Pinang atau menaiki feri.

Namun sebenarnya tanpa perlu melalui jambatan pun, ada banyak lokasi pelancongan menarik boleh anda lawati di Seberang Perai.

Jom kami kongsikan 10 tempat menarik ‘tersembunyi’ yang ramai masih belum tahu setanding dengan destinasi pelancongan di pulau. Pendek kata, semua destinasi ini memang ‘wajib’ anda semua lawati jika jejakkan kaki di Pulau Pinang.

Kampung Agong

Kampung Agong ialah ‘Taman Bertema Agro’ di luar bandar yang terletak di Seberang Perai, Pulau Pinang. Taman ini ialah sebuah kebun kelapa di sebelah sawah padi, dihiasi dengan struktur tradisional Melayu desa dan dipenuhi dengan aktiviti kebudayaan.

tempat best penang

Square @ Cassia

Lokasi ini dikenali sebagai Square @ Cassia. Yang menariknya, inilah spot Instagrammable yang paling baru di Seberang Perai. Baru lah lawa gambar-gambar yang korang ambil tu nanti. Memori akan kekal sampai bila-bila.

Bukit Katak

Selain lokasi di atas, Bukit Katak juga menjadi salah satu tempat yang cantik untuk tangkap gambar. Digalakkan sangat untuk anda semua pergi ke Bukit Katak ni. Bukit Katak ini terletak di tengah-tengah Seberang Perai dan berhampiran Bukit Mertajam.

Cherok Tokun

Taman Rimba Bukit Mertajam yang juga dikenali sebagai Taman Semula Jadi Cherok Tokun terkenal dengan pokok Mengkundur gergasi yang dianggarkan berusia lebih 80 tahun. Pokok itu sangat besar pada akar tunjangnya sehingga memerlukan kira-kira 20 orang berganding tangan untuk mengelilinginya. Di Cherok Tokun ni juga, terdapat peninggalan sejarah berusia lebih 1,500 tahun yang patut dipelajari dan difahami oleh orang ramai. Ini ialah sebagai bukti peradaban berasaskan bahasa Sanskrit di Pulau Pinang.

tempat best penang

Penang Bird Park

Untuk penggemar burung, lokasi ini akan menjadi tempat yang digemari. Dihuni oleh 3,000 spesis burung dari seluruh dunia. Tambahan lagi, korang juga boleh tengok spesis burung terancam seperti burung enggang Tebang Mentua. Lokasi ini merupakan sebuah taman burung yang paling terbesar di Malaysia. Sesuai untuk semua orang daripada pelbagai golongan usia untuk ke sini.

Robina Eco Park

Taman rekreasi ini sebenarnya terletak di tepi pantai yang sangat cantik. Yang seronoknya, lokasi ini ialah lokasi yang amatlah sesuai dikunjungi bersama ahli keluarga dan juga sahabat handai. Baru la dapat bersantai petang-petang sambil tengok pantai.

Pekan Hispter Bukit Mertajam

Pekan hipster digemari ramai ini sebenarnya berlokasi di Bukit Mertajam. Lokasi ni sememangnya sangat popular dengan restoran dan kafe-kafe hipster. Contohnya, Dua Sua Ka. Dari luar nampak macam bangunan lama, tapi kat dalam hipster betul.

Kampung Nelayan Pulau Aman

Lokasi ini ialah sebuah perkampungan nelayan yang menarik untuk semua. Anda boleh naik bot dan saksikan nelayan-nelayan di sini bekerja. Yang kaki pancing dan pencinta makanan laut memang wajib datang sebab ada macam-macam ikan, udang lipan, ketam dan banyak lagi.

Spesifiknya, kampung ini terletak di daerah Seberang Perai Selatan. Tambahan pula, ia mempunyai keluasan sebesar 288 ekar. Orang ramai di sini hanya menggunakan motosikal atau basikal sebagai kenderaan utama mereka. Menarik kan dapat pergi tempat macam ni yang tiada kesibukan kenderaan di jalan.

tempat best penang

Design Village

Di sini, terdapat tempat yang dinamakan Design Village Outlet Mall. Ia ialah pusat membeli-belah yang boleh dikatakan ‘terhijau’ di Malaysia. Yang bestnya, terdapat kira-kira 150 buah kedai dalam pusat membeli-belah ini dan juga dikelilingi taman tropika. Lepas tu lagi, pusat membeli-belah yang besar ini juga telah menerima Anugerah Arkitek Landskap Malaysia pada tahun 2017.

IKEA

Siapa yang tak minat pergi ke IKEA kan. Sama juga macam cawangan IKEA yang lain, anda boleh jugak menikmati bebola daging Swedish. Bebola daging inilah yang telah menjadi kegilaan ramai orang termasuk juga di IKEA Batu Kawan ni. Selain daripada itu, IKEA Batu Kawan ini juga mempunyai seni mural AR baharu dan ianya menjadi hidup apabila menggunakan telefon pintar anda sendiri kerana ia mengandungi komponen AR. Tambahan lagi, ia juga menandakan mural lukisan luar kedua yang terbesar di Pulau Pinang. Anda semua patut cuba tarikan yang menarik ni apabila ke sana.

tempat best penang

Walau bagaimanapun, tidak juga dapat kita semua nafikan yang di bahagian Pulau juga mempunyai pelbagai kawasan menarik. Yang pastinya, sudah ramai yang mengetahui kawasan-kawasan tersebut. Antara tempat menarik yang dikunjungi pelancong adalah;

ESCAPE Penang

ESCAPE Pulau Pinang mempunyai 40 tunggangan dan juga tarikan menarik. Sebagai contoh, lari bertali dan lari berhalangan, ziplines, mendaki, menara menyelam dan paling seronok sekali ialah Gelongsor Air Tiub Terpanjang Rekod Dunia Guinness. Ada lagi satu, ESCAPE juga telah berjaya mendapat Rekod Dunia Guinness yang kedua dengan adanya Zip Coaster yang terpanjang di dunia dengan ukuran sepanjang 1.1km. Di sinilah anda dapat menghayati hutan hujan yang kaya. Lokai spesifiknya terletak di Teluk Bahang, Pulau Pinang.

Bukit Bendera

Lagi satu tarikan pelancongan yang sangat terkenal untuk ramai orang. Bukit Bendera atau dikenali juga sebagai Penang Hill ialah sebuah resort bukit yang terdiri daripada sekumpulan puncak di Pulau Pinang, Malaysia. Ia terletak dalam pinggir bandar Air Itam, 9 km ke barat dari pusat bandar George Town. Apa yang membanggakan Malaysia adalah Penang Hill juga telah dinamakan secara rasmi sebagai Rizab Biosfera Bukit Pulau Pinang. Ia telah dirasmikan oleh Majlis Penyelaras Antarabangsa UNESCO’s Man dan Biosphere Programme di Abuja, Nigeria.

ENTOPIA

Di lokasi ini, anda boleh bayangkan anda dalam suasana pembelajaran ataupun hab penemuan terbesar di alam semula jadi. Di ENTOPIA, anda boleh melihat dan mengenali di mana rama-rama dan serangga bebas untuk keluar dan bermain.

KOMTAR

KOMTAR sebenarnya ialah sebuah bangunan pencakar langit setinggi 68 tingkat, 249 meter di George Town, Pulau Pinang, Malaysia. Ia ialah bangunan keempat belas tertinggi di Malaysia dan bangunan tertinggi di bandar dan juga negeri.

tempat best penang

Bukan setakat tu saja tau. Sebenarnya ada banyak lagi tempat menarik yang boleh dikunjungi di Pulau Pinang ni. Antaranya lagi Teluk Bahang dan Balik Pulau. Kalau nak tengok keindahannya, anda boleh menonton video di bawah.

Teluk Bahang

Teluk Bahang ialah sebenarnya sebuah bandar dalam bandar George Town di negeri Pulau Pinang Malaysia. Ia terletak dalam Daerah Pulau Pinang Barat Daya, berhampiran hujung barat laut Pulau Pinang. Ditubuhkan mulanya sebagai sebuah perkampungan nelayan, Teluk Bahang telah berkembang menjadi destinasi pelancongan, dengan pelbagai tarikan dibina di sekitarnya.

Balik Pulau

Balik Pulau terletak di barat daya Pulau Pinang, ia juga merupakan pusat pentadbiran Daerah Pulau Pinang Barat Daya. Ia mempunyai banyak tarikan popular. Antaranya termasuklah Ladang Durian Bao Sheng, Kilang Pala Ghee Hup, Ladang Kambing Tenusu Saanen dan macam-macam.

Mesti terkejut kan bila dapat tahu yang di Seberang Perai pun ada banyak lokasi menarik untuk dikunjungi. Jadi tunggu apa lagi, terus ajak ahli keluarga dan juga rakan-rakan buat plan nak ke Pulau Pinang. Untuk maklumat lanjut yang lebih terperinci, anda boleh cepat-cepat klik je link ni.

Nor Fakhry