Siakap Keli

‘Makhluk’ Pelik Menyorok Bawah Sampah Dalam Sungai Gemparkan Penduduk, Saksi Nampak Air Berpusar Sebelum Kemunculannya

Apa perasaan anda bila nampak sampah sarap menimbun di dalam sungai? Pasti menyakitkan mata, bukan? Pernah tak anda tertanya-tanya dari mana sampah sarap itu datang?

Sedar tak sedar, timbunan sampah di dalam sungai itu adalah daripada daratan sendiri. Plastik keropok, botol air, bungkusan makanan, flyers dan sampah dari tepi-tepi jalan yang sering kita ambil ringan itulah yang mencemarkan sungai kita. Sampah itu kemudiannya diterbangkan atau dihanyutkan ke sungai sama ada ketika banjir mahupun melalui aliran longkang.

Baru-baru ini, tular sebuah rakaman kemunculan seekor raksasa pelik berwarna hijau yang muncul dari bawah timbunan sampah sarap di sungai. Rakaman berdurasi 3 minit itu telah mendapat lebih 2 juta tontonan di YouTube di mana kehadiran raksasa itu bermula dengan tanda pusaran air di sungai berkenaan.

Saksi turut melihat kelibat dua biji mata berwarna merah yang merenung tajam dari dalam air. Secara tiba-tiba, ia keluar menunjukkan diri, mengejutkan orang ramai yang berjalan berhampiran.

Raksasa itu kemudiannya menyerang dengan menghamburkan sampah sarap yang dibuang ke dalam sungai ke arah orang ramai, memaksa mereka melarikan diri.

Sebenarnya, ini merupakan sedutan daripada cerita Boboiboy di mana Boboiboy berperang dengan raksasa sampah tersebut untuk menyelamatkan orang awam. Pun begitu, kuasa kanak-kanak lelaki itu tidak dapat melawan raksasa hijau berkenaan dengan mudah dek kerana sampah yang terlalu banyak.

Menyedari kekuatan raksasa itu bersumberkan sampah sarap, orang ramai kemudiannya terus bergotong-royong membersihkan sungai, mengakibatkan si raksasa semakin lemah.

Jom tonton video berdurasi 3:04 minit ini di bawah.

Macam mana, best kan filem pendek Boboiboy ni? Di sebalik jalan cerita yang menarik ini, ada mesej besar yang ingin disampaikan.

Dalam kehidupan sebenar, raksasa hijau itu ibarat krisis-krisis yang timbul apabila sungai tercemar.

Selain berlakunya gangguan bekalan air, masalah-masalah seperti penyakit dan kekurangan sumber air bersih boleh berlaku.

Oleh itu, kita diamanahkan untuk menjaga sungai kita kerana ia adalah tanggungjawab semua. Didik diri dan anak-anak untuk menjaga sumber kehidupan kita. Jom, Kita Jaga Air kita.

Amira

Love yourself.