Siakap Keli
Paras air di kawasan takungan Cerro Prieto
Gambar Earth Observatory

Imej Satelit NASA Dedah Paras Air Di Kawasan Takungan Cerro Prieto Kritikal Akibat Kemarau

Dibina sejak 1980-an, imej dirakam NASA paparkan paras air di kawasan takungan Cerro Prieto berada pada tahap kritikal

Paras air di takungan Cerro Prieto berhampiran Guadalupe di negeri Nuevo Leo, Mexico utara dilaporkan berada dalam keadaan kritikal kerana air semakin mengering.

Memetik laporan Earth Observatory, keadaan itu berlaku disebabkan oleh kemarau yang berterusan sejak dua tahun lalu.

Paras air di takungan yang dibina pada tahun 1980-an itu menurun kepada 0.5 peratus daripada kapasiti 393 juta padu (318,000 ekar kaki).

Menerusi imej yang diperoleh oleh Operational Land Imager (OLI) milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) di Landsat 8, perbezaan yang ketara dapat dilihat di takungan itu pada 20 Julai 2015 dan 7 Julai 2022.

20 Julai 2015

7 Julai 2022

Untuk pengetahuan, Monterrey iaitu ibu negeri Nuevo Leon dan kawasan metropolitan kedua terbesar di Mexico bergantung pada takungan itu untuk sebahagian bekalan air.

Kehabisan air di takungan itu menjejaskan industri pertanian dan pelancongan.

Menurut laporan, paras air menurun dengan begitu rendah di takungan itu pada minggu kedua Julai 2022 kerana suhu yang melonjak sehingga 40 darjah Celcius sehingga air tidak lagi dapat diekstrak.

Sebagai tindak balas kepada keadaan itu, suruhanjaya air kebangsaan Mexico, Conagua telah mengumumkan langkah kecemasan, termasuk mengalihkan beberapa peruntukan air perindustrian dan pertanian untuk mencukupkan bekalan di kediaman penduduk.

Pada penghujung Jun 2022, dua pertiga negara Mexico berada dalam keadaan kemarau sehingga menjejaskan lebih 21 juta orang.

Difahamkan, negeri-negeri utara di sepanjang sempadan Amerika Syarikat paling terjejas.

Di New Mexico pula, hampir 60 peratus  mengalami kemarau yang luar biasa atau melampau.

Sementara itu,  National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) memaklumkan bahawa Jun 2022 menjadi bulan paling panas yang direkodkan oleh mereka di Hemisfera Utara.

Ia juga merupakan bulan Jun ke-46 berturut-turut dan bulan ke-450 dengan suhu melebihi purata abad ke-20.

Sumber: Earth Observatory

Baca: Sambil Beli Buku Pun Boleh Bersedekah, Ini Cara Nak Beli Buku Dengan Rebat 10%

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.