Siakap Keli
cikgu solo ride
Gambar: FB Othman Yunus

Cikgu ‘Solo Ride’ 1,600km Pusing Semenanjung Naik C90 Dengan ‘Sebelah Mata’

Bukan biasa-biasa orangnya, seorang cikgu dari selatan tanah air ‘selamba’ solo ride sejauh 1,600 kilometer pusing Semenanjung Malaysia hanya naik kapcai Honda C90 saja.

Biasanya orang yang ride jauh-jauh ni mesti akan menunggang motosikal jenis berkuasa tinggi. Paling ‘cikai’ sekalipun sekurang-kurangnya minimum 250 cc. Sebab apa? Apabila menunggang motosikal cc besar untuk perjalanan jauh, ‘feel’ akan lebih terasa. Selesa, bergaya, boleh pecut lebih laju, tangki besar tak perlu banyak kali berhenti isi minyak dan bermacam-macam lagi.

Tapi bak kata orang, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Kalau semangat di dada penuh membara, tanah segenggam di tangan pun boleh disemai hingga menjadi gunung! Tak cukup dengan itu, pepatah dahulu kala juga pernah berkata, patah sayap bertongkat paruh, namun gunung ku daki, ku daki jua! Begitulah bidalan paling tepat boleh digunakan untuk cerita kali ini.

Percaya atau tidak, seorang rider ‘istimewa’ dari selatan tanah air telah berjaya membuktikan pada dunia bahawa kekurangan diri bukanlah penghalang untuk mencapai cita-cita.

Amat menakjubkan, beliau berjaya menjelajah seluruh Semenanjung Malaysia bukanlah dengan jentera besar, tetapi hanya dengan sebuah kapcai tua berkapasiti rendah saja.

Gambar: FB Othman Yunus

Rider istimewa tersebut ialah Othman Yunus, 42, berasal dari Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru dan kini menetap di Mersing. Amat meminati dunia permotoran, beliau sebenarnya merupakan seorang guru pendidikan khas di sebuah sekolah di daerah tersebut. Cikgu Othman adalah seorang individu kelainan upaya (OKU) penglihatan, di mana mata kanannya buta sejak berusia sembilan tahun.

Bercerita tentang hobi, beliau sangat suka menunggang dan mengubahsuai motosikal. Malah boleh juga digelar sebagai ‘collector’ sebab memiliki beberapa jenis motosikal lama yang ‘lejen’ seperti Honda C90 (dibeli pada 2002), Nitro Windstar 150 (2004), KTNs 250 (2018), Suzuki RR Sport (2018), Yamaha RXS 115 (2020) dan Honda EX5 (2020).

Gambar: FB Othman Yunus

Adakah Cikgu Othman hanya layan ‘kapcai’ saja? Tidak. Sebenarnya beliau juga pernah menggunakan beberapa jenis motosikal berkuasa tinggi sebelum ini seperti Yamaha Dragstar 650 (2008), Demak DTM 150 (2012),  Kawasaki Versys 650 (2013) dan Kawasaki Vulcan 500 (2018). 

Untuk rekod perjalanan jauh dengan motosikal berkuasa tinggi tersebut, beliau juga pernah ke beberapa lokasi terkenal di sekitar Thailand iaitu Koh Samui dengan Yamaha Dragstar 650 (2010); Hatyai dengan Kawasaki Versys 650 (2012, 2013, 2014); Krabi dengan Kawasaki Vulcan 500 (2018) dan Betong dengan KTNs 250 (2018).

Tambah gear je, Cikgu solo ride pusing satu Semenanjung dengan Honda C90

Untuk makluman semua, Cikgu Othman baru saja menamatkan misi kembara seluruh Semenanjung Malaysia secara solo (atau disebut solo ride) pada Mac lalu. Bagi kebanyakan rider kental yang lain, apalah sangat layan ‘route’ Semenanjung. Tapi berbeza dengannya, beliau mengembara sejauh 1,600 kilometer selama 10 hari hanya menggunakan sebuah kapcai tua Honda C90 dengan ‘sebelah mata’ saja!

Gambar: FB Othman Yunus

Difahamkan, kapcai C90 itu dibelinya semasa sedang menuntut di Universiti Malaya, Kuala Lumpur (UM) pada 2002 dahulu. Walaupun sudah 20 tahun memilikinya, namun kapcai tua itu belum pernah lagi digunakan untuk mana-mana solo ride berbanding motosikal lain.  Jadi sebab itulah ia ‘sedia’ menggalas tugas berat untuk jelajah Semenanjung pada kali ini.

Gambar: FB Othman Yunus

“Jadi saya nak buat cabaran untuk diri sendiri. 20 tahun saya guna motosikal itu sejak di UM, jadi saya bawa balik motosikal itu ke UM.

“Yang buatkan saya confident, saya dah overhaul enjin, tambah gear empat, jadi selesa sikit. Sepanjang jalan saya bawa dalam 60 kilometer sejam saja. Santai-santai saja,” katanya dalam satu temu bual bersama Siakap Keli baru-baru ini.

Bagaimanapun ujarnya, enjin yang dipakai bukanlah ditukar baharu, masih lagi enjin lama. Beliau cuma tambah gear saja, selain hanya tukar casing kiri dan kanan. Jelasnya, modifikasi sebegitu tidak mendatangkan masalah kerana nombor enjin masih nombor lama yang original.

Menurutnya, kapcai C90 tersebut mudah dibawa dan dikendalikan sepanjang perjalanan. Selain ringan dan jimat minyak, ia juga mudah untuk dibaiki di mana-mana bengkel jika berlaku kerosakan, terutamanya di kawasan kampung. Pendek kata, rata-rata ‘pomen’ sudah cukup kenal dengan jentera tua ini.

Motor dinaiki rosak di tengah hutan

Gambar: FB Othman Yunus

Meredah Semenanjung dengan kapcai cc kecil bukanlah sesuatu yang mudah. Tambahan pula beliau hanya mampu melihat dengan menggunakan sebelah mata saja. Menurut Cikgu Othman, antara cabaran yang dihadapi adalah ketika perjalanannya di kawasan pantai timur, di mana beliau perlu menghadapi dua halangan berbahaya iaitu musim hujan dan banjir.

Gambar: FB Othman Yunus

Difahamkan, ada sesetengah jalan raya yang dilaluinya dinaiki air akibat hujan lebat. Ada waktu, beliau terpaksa berpatah balik dan ikut laluan lain. Namun ada juga keadaan yang ‘memaksanya’ untuk terus jalan. Namun kapcainya pula mengalami kerosakan seperti kaburator dan coil magnet dimasuki air. Tidak kurang juga, dia pernah berdepan detik cemas apabila motosikal miliknya rosak di tengah-tengah hutan belantara.

“Turun dari Jeli nak ke Gerik…lepas je dari Banjaran Titiwangsa, turun ke Tasik Banding, depan sikit motor rosak tengah jalan. Memang tengah-tengah hutan. Jadi saya berhenti, nak harapkan kereta motor (lain) memang tak berhentilah. Jadi saya tolak juga motor.

Gambar: FB Othman Yunus

“Lepas lima minit, datang motor berdua. Tak pasti adik-beradik atau suami isteri. Dia tolong tolak motor sampai ke Gerik, lebih kurang dalam 20 kilometer jugalah sampai bengkel.

“Itu yang saya confident naik motor kecil ni, mana-mana bengkel pun ada spare part. Bengkel-bengkel kampung mudah, macam Honda Cub ni barang-barang dia (Honda) Ex5. Kalau rosak senang nak tolak, boleh tolak sendiri atau orang lain tolong tolak. Sebelum ni saya naik motor besar, nak tolak berat,” katanya.

Tangki kecil, berapa kali kekerapan berhenti isi minyak?

Umumnya semua orang tahu bahawa tangki minyak C90 ini kecil saja, tidaklah sebesar motosikal yang lebih besar cc nya. Tapi di sebalik itu, Cikgu Othman ada taktikalnya sendiri mengapa beliau memilih C90 sebagai jentera pilihan dalam solo ride tersebut. Katanya, walaupun jarak maksimum yang boleh dituju jika tangki penuh sejauh 150 kilometer, beliau tetap akan berhenti untuk isi minyak setiap 100 ke 120 kilometer.

Gambar: FB Othman Yunus

“Pada kelajuan 60 hingga 70 kilometer sejam, kalau tangki penuh dia boleh pergi sampai 150 kilometer. Tapi biasanya saya (kalau) 100 kilometer tu dah cari stesen minyak. Tapi saya ada juga bawa minyak spare lebih kurang dua liter. Maknanya minyak spare tu saya akan guna di tempat-tempat yang susah nak cari stesen minyak. Lebih kurang begitulah,” jelasnya.

Bagaimana ‘pattern’ guna minyak?

Difahamkan, Cikgu Othman hanya akan menggunakan minyak petrol yang sama saja iaitu PETRONAS. Tambahan pula, perjalanannya lebih lancar tanpa perlu susah-susah mencatat rekod perbelanjaan setiap kali berhenti di mana-mana stesen untuk mengisi minyak. Malah selain itu, beliau tetap akan cari PETRONAS walaupun ketika itu tangki sudah hampir kering.

Gambar: FB Othman Yunus

“Saya memang pengguna PETRONAS. Lepas tu bila sudah ada aplikasi Setel, mudah untuk saya gunakan sebab saya tak perlu bawa cash, cuma perlu topup (kredit). Kalau dulu-dulu ride kita nak tulis bajet minyak (setiap kali berhenti), tapi dengan Setel ni tak payah. Aplikasi ni semua dah ada catatannya. Last tu boleh tengoklah rekod pembayaran, berapa kita dah guna. Dia lagi mudahlah,” katanya.

Selain itu, timbul juga persoalan; kalaulah sesuatu lokasi itu memang tiada langsung stesen PETRONAS yang berdekatan, minyak dalam tangki pula hampir habis – tapi dalam masa sama masih nak juga guna PETRONAS – macam mana? Adakah beliau ‘terpaksa’ untuk ubah ‘selera’ sekejap guna minyak jenama lain? Jawapannya, tidak sama sekali.

Gambar: FB Othman Yunus

“Kat Setel ni ada peta. Jadi bila dah sampai 100 kilometer (had untuk berhenti isi minyak), kita cari je mana-mana stesen PETRONAS terdekat. Kalau tak jumpa juga, saya ada minyak spare. Saya takkan isi minyak kat tempat lain, saya akan guna minyak spare tu. Bila dah jumpa PETRONAS lain, saya akan topup balik dalam tangki dan botol. Saya nak bajet tu, benda (pembayaran) tu dah direkodkan. Kalau kat tempat lain, saya kena tulis. Saya taknak macam tu. Bila guna Setel, senang. Nak tengok balik buka je rekod pembayaran, lagi mudahlah,” katanya.

Selain berhenti isi minyak, Cikgu Othman juga menggunakan stesen PETRONAS sebagai ‘one stop centre’ bagi urusan-urusan lain seperti berehat, solat di surau, beli makanan dan minuman dan sebagainya. Pendek kata, beliau tidak perlu untuk bersusah-payah cari lokasi lain bagi tujuan tersebut. Cukup semuanya ‘disetelkan’ di satu stesen.

Gambar: FB Othman Yunus

Nasihat kepada rider lain untuk solo ride & perancangan akan datang

Menurut Cikgu Othman, perkara terpenting yang perlu ada dalam diri seorang rider adalah keyakinan. Kita perlu rasa confident, dalam masa sama kena juga ikut gerak hati. Pendek kata, kalau kita yakin, rasa memang tiada masalah berlaku, bolehlah mulakan perjalanan kita. Namun dalam masa sama, kewajipan sebagai suami atau ayah tetap perlu dilunaskan.

Gambar: FB Othman Yunus

“Tips kedua, motor dan kita sendiri berada dalam keadaan yang baik. Duit yang mencukupi. Masa pun penting. Ada orang dia ada duit tapi dia takda masa. Ada orang masa ada, bajet takda. Ada (pula) yang masa ada, bajet ada, isteri pula tak bagi,” katanya sambil berseloroh.

Sementara itu, pada 2 Julai baru-baru ini Cikgu Othman baru sahaja menghadiri sebuah himpunan RX Gathering 2022 di MAEPS Serdang yang menghimpunkan pemilik-pemilik motosikal jenis Yamaha RX di seluruh negara.  Bingkisan ringkas perjalanan kali ini sudah diceritakan menerusi laman Facebook miliknya. Lihatlah pada gambar ini, ratusan Yamaha RX tersergam indah untuk peminat mencuci mata masing-masing.

Gambar: FB Othman Yunus

Sementara itu, ketika cuti persekolahan yang panjang nanti, beliau merancang untuk mengembara di seluruh Johor menggunakan motosikal Nitro Windstar 150 yang sudah dimodifikasi dan Suzuki RR Sport miliknya selama tiga hari dua malam. Dalam masa sama, beliau juga merancang akan ke Krabi dan Phuket di Thailand bersama dengan Yamaha RXS satu masa nanti.

Kisah inspirasi Cikgu Othman solo ride kembara seluruh Semenanjung jadi pembakar semangat

Begitulah kisah inspirasi Cikgu Othman yang berjaya mengembara seluruh Semenanjung dalam keadaan kurang keupayaan dengan hanya menggunakan sebuah kapcai tua berkapasiti rendah. Pokoknya di sini, janganlah kita jadikan sesuatu kekurangan pada diri sebagai alasan untuk tidak mampu mencapai cita-cita. Malah jika melihat pada sosok tubuh insan istimewa ini, ‘kekurangan’ itulah yang menjadi pembakar semangat bagi mencapai apa yang diimpikannya.

Gambar: FB Othman Yunus

Dalam masa sama, tidak akan berdiri sesuatu pokok itu tanpa akarnya. Di sebalik sebuah perjalanan yang jauh lagi mencabar, PETRONAS menjadi salah satu ‘tongkat’ terpenting untuk Cikgu Othman ‘berdiri’ mencapai impian, walaupun hakikatnya beliau tidak sesempurna insan lain. PETRONAS terbukti menjadi pilihan utamanya untuk melangkah jauh, menikmati perjalanan lancar serta penjimatan lebih optimum. 1,600 kilometer selama 10 hari, walau berkapcai tua dan kurang upaya diri, semuanya ‘setel’ hanya dengan Petronas.

Di sinilah erti pengembaraan dua roda yang sebenar; ia bukan pada jenis motor apa yang kita guna, tetapi sejauh mana kita boleh pergi.

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'