Siakap Keli
Kredit: JPN & Pixabay

“Boleh Digunakan Di….” Terdiri 5 Ciri Unik Yang Penting, Ini Cara Mohon MyKID Untuk Anak Anda

Seperti kita yang dewasa ini, kad pengenalan bagi kanak-kanak atau MyKID sebenarnya ada banyak fungsi. Oleh itu, mari ketahui cara mohon MyKID untuk anak-anak kita.

MyKID merupakan kad pengenalan atau pengenalan diri kanak-kanak yang mengandungi cip. Ia dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), khusus kepada kanak-kanak yang berusia di bawah 12 tahun.

Ciri – ciri MyKID adalah sama seperti yang terdapat pada MyKad cuma ia tidak mempunyai gambar dan cap jari.

Gambar hiasan | Kredit: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)

‘My’ membawa maksud ‘Malaysia’ manakala ‘KID’ pula adalah akronim kepada ‘Kad Identiti Diri’. Nombor pengenalan diri yang terpapar pada MyKID ini akan digunakan dalam semua urusan dari awal sehingga ke akhir nafas.

Terdapat tiga aplikasi utama yang terkandung di dalam cip MyKid iaitu aplikasi JPN (data kelahiran), maklumat kesihatan dan maklumat pendidikan.

Gambar hiasan | Kredit: Pixabay

Kelebihan MyKID

Kenapa anda perlu untuk memohon MyKID untuk anak anda? Berikut merupakan beberapa kelebihan yang boleh dinikmati jika anak anda memiliki MyKID.

Pertama, kad ini mampu menyelamatkan alam sekitar kerana kad pintar ini mengurangkan penggunaan borang semasa berurusan dengan agensi kerajaan atau swasta.

Kedua, kad pintar ini bersifat multifungsi kerana dapat digunakan semasa berurusan dengan jabatan atau agensi-agensi kesihatan seperti hospital atau klinik bagi tujuan pemeriksaan kesihatan, persekolahan dan sebagainya.

Ketiga, saiznya yang kecil menjadikan ia mudah alih dan boleh dibawa ke mana-mana sahaja.

Seterusnya, kad pintar ini mempunyai ciri-ciri keselamatan untuk mengelakkan data peribadi daripada disalahgunakan.

Kad pintar ini juga memiliki teknologi yang tinggi kerana maklumat boleh dibaca pada kad atau di dalam cip. Maklumat dalam cip tersebut juga mudah untuk dikemas kini.

Akhir sekali, reka bentuknya yang cantik dan menarik serta kalis air. Anda tidak perlu risau untuk memberikan kad ini kepada anak anda jika dibandingkan dengan sijil kelahiran.

Gambar hiasan | Kredit: Pexels

Bagaimana untuk membuat permohonan MyKID anak anda?

MyKID boleh dipohon oleh semua kanak-kanak warganegara Malaysia yang berumur bawah daripada 12 tahun. Ibu bapa hanya perlu untuk membawa salinan Sijil Kelahiran Malaysia/ Borang W (asal), salinan kad pengenalan bapa, salinan kad pengenalan ibu dan salinan sijil perkahwinan ibu bapa.

Tiada bayaran dikenakan dan permohonan boleh dilakukan di mana-mana pejabat Jabatan Pendaftaran Negara yang berdekatan dengan kediaman anda.

Kredit: Jabatan Pendaftaran negara (JPN)

Sumber: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma