Siakap Keli
Kredit: FRIM & Pixabay

Hutan Paya Laut: Ini 3 Kepentingan Pada Ekosistem Malaysia Yang Patut Dipulihara

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Ketika dalam perjalanan ke Teluk Intan dari Kuala Selangor, kita akan melihat beberapa kawasan payau bakau laut terletak di persisiran pantai. Beberapa haiwan yang menarik turut boleh ditemui di sana seperti ikan belacak, ketam lumpur, memerang licin dan lain-lain.

Akan tetapi, pernahkah anda terfikir, apakah kepentingan kawasan ini kepada alam sekitar? Mari kita ikuti perkongsian daripada Institut Penyelidikan Hutan Negara (Forest Research Institute Malaysia, FRIM) bersempena Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut.

Kredit: FRIM

Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut (HPL) Antarabangsa (International Day for the Conservation of Mangrove Ecosystem) disambut pada 26 Julai setiap tahun. Sambutan ini diiktirafkan dalam Persidangan ke-38 UNESCO pada 6 November 2016.

Tujuan sambutan ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap kepentingan memelihara dan memulihara ekosistem HPL termasuk kawasan pesisiran pantai bagi menghargai serta memastikan kelangsungan HPL.

Apa itu Hutan Paya Laut (HPL)?

HPL merupakan hutan tanah lembap di muara sungai/berlumpur yang mengalami air pasang surut dengan flora yang mempunyai ketahanan tinggi terhadap garam. Ia juga dikenali sebagai ‘hutan di antara darat dengan laut’ yang terdapat pada ketinggian antara 0-5 m dari paras laut. Tumbuhan yang terdapat di HPL meliputi pokok renek, paku pakis, pokok bakau dan nipah.

Berdasarkan kajian Hamdan O. (2019), keluasan kawasan HPL di Malaysia dianggarkan seluas 621,038 hektar (ha), iaitu:

110,953 ha (18%) di Semenanjung Malaysia, 378,195 ha (60%) di Sabah dan 131,890 ha (22%) di Sarawak.

Kredit: FRIM

Daripada jumlah tersebut, 54% atau seluas 334,000 hektar (ha) telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK).

HPL memainkan peranan yang amat penting dari segi fungsi-fungsi hidrologi, ekosistem, ekonomi dan kesejahteraan masyarakat di sekitarnya.

1. Melindungi Persisiran Pantai

HPL berperanan ubtuk melindungi pesisiran pantai daripada ancaman hakisan dan menjadi benteng daripada ribut taufan serta arus ombak (termasuk tsunami) yang kuat dan merupakan pertahanan semula jadi. Dirian HPL yang padat mampu memberikan perlindungan yang optimum dengan penyerapan halaju ombak daripada menghentam daratan dan mampu mengurangkan risiko kemusnahan harta benda serta kehilangan nyawa.

Kajian simulasi ombak oleh FRIM mendapati sistem akar jangkang selebar 200 m mampu menghapuskan sepenuhnya halaju ombak (0 m/s).

Kredit: FRIM

2. Sosio-Ekonomi Dalam Penjanaan Pendapatan

Ekosistem pesisiran pantai negara khususnya HPL memainkan peranan penting kepada penduduk tempatan dari segi sosio-ekonomi dalam penjanaan pendapatan hasil dari sumber semula jadi.

Kajian di HPL Delta Tumpat, Kelantan mendapati penggunaan kawasan HPL dalam kalangan komuniti tempatan juga adalah signifikan dengan peningkatan penggunaan sebanyak 32.5% pada 2021 berbanding 16% pada 2011. Komuniti setempat menerima manfaat daripada hasil yang dijana daripada kawasan HPL Delta Kelantan antaranya hasil tangkapan ikan, udang dan ketam dan lain-lain.

Maka, kawasan HPL ini memberikan nilai ekonomi yang tinggi kepada komuniti. Selain itu, ia berupaya meningkatkan kualiti alam sekitar dan nilai estetika sebagai daya tarikan pelancong yang juga dapat menambah punca hasil pendapatan penduduk dan kerajaan tempatan.

Kredit: FRIM

3. Habitat Semula Jadi Kepada Fauna

Ekosistem HPL merupakan lokasi pembiakan hidupan marin serta habitat penting bagi spesies burung tempatan dan migrasinya. Bancian pada 2016 merekodkan 61 spesies burung di Sungai Hj. Dorani, Sabak Bernam, Selangor.

Selain itu, kawasan hutan bakau yang ditanam semula di Sungai Hj. Dorani merekodkan 29 taxa gastropoda (siput), dua (2) taxa bivalve (kerang), 26 spesies ikan dan satu (1) spesies ketam. Jadi, memelihara dan memulihara hutan bakau sama seperti memelihara sumber makanan laut dan menyumbang kepada sekuriti makanan negara.

Kredit: FRIM

Kesimpulan

Aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta usaha penanaman bagi memulihkan HPL perlu diperkasakan dengan pendekatan bersepadu melalui penglibatan pelbagai disiplin R&D yang bersesuaian dengan keadaan zon pesisiran pantai yang unik, mencabar, ‘fragile’ dan dinamik. Manakala, program pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan HPL hendaklah diteruskan demi memastikan khazanah negara terus dipelihara dan diurus secara mampan.

Mengambil kira betapa besarnya peranan HPL, kerajaan, NGO dan masyarakat setempat hendaklah berganding bahu memberi komitmen penuh bagi melestarikan kawasan hutan bakau serta kawasan persisiran pantai sebagai kawasan semula jadi.

Sumber: FRIM via Facebook

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.