Siakap Keli
94% daripada kanak-kanak

94% Daripada Kanak-kanak Di Malaysia Terdedah Kepada Pornografi Dalam Talian

Memetik tinjauan CyberSAFE Parenting Ke Arah Kesejahteraan Siber, sebanyak 94% daripada kanak-kanak di Malaysia terdedah kepada pornografi dalam talian.

Angka ini pastinya merunsingkan ibu bapa terutama apabila tinjauan serupa mendapati satu daripada empat kanak-kanak berkemungkinan setuju untuk berjumpa dengan orang yang mereka baru kenali di Internet.

Apa yang membimbangkan adalah pendedahan terhadap unsur lucah boleh berlaku sama ada melalui carian internet mahupun secara tanpa niat iaitu melalui permainan video mahupun kartun yang ditonton.

Bukan itu sahaja, sebanyak 60% kes serangan seksual dilaporkan bagi bulan Januari-September 2017 adalah melibatkan kanak-kanak. Statistik sebegini perlu dipandang serius oleh para ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka tidak terjerumus dalam kancah negatif ini.

Lebih merisaukan, tinjauan sama juga mendapati 50% daripada pelajar Sekolah Menengah berinteraksi melalui media sosial tanpa pemantauan ibu bapa.

Apa yang ibu bapa boleh lakukan?

94% daripada kanak-kanak

Justeru, ibu bapa perlu menjalankan peranan mereka dengan mengambil tindakan tegas dan efektif bagi membendung perkara ini daripada berlaku ke atas anak-anak sendiri. 

Ibu bapa perlu menyediakan persekitaran dalam talian yang selamat di rumah dengan melakukan amalan di bawah,

  • Komputer diletak di ruang tamu terbuka agar ibu bapa dapat memantau aktiviti dalam talian anak-anak mereka.
  • Tetapkan mod carian selamat pada pelayar
  • Muat turun dan menetapkan aplikasi pemantauan.
  • Menetapkan tetapan peribadi media sosial
  • Menetapkan had masa bagi penggunaan internet
  • Memasang perisian antivirus
  • Didik anak-anak anda dengan merahsiakan kata laluan mereka daripada orang yang tak dikenali.

Bercakap tentang aplikasi pemantauan, semestinya anda sebagai ibu bapa ingin ketahui dengan lebih lanjut mengenai langkah-langkah mengaktifkan ciri kawalan ibu bapa atau mod carian selamat di Youtube, Facebook  dan Chrome. Anda boleh ikuti cara yang kami sediakan di bawah ini:

Langkah mengaktifkan ciri kawalan ibu bapa atau Mod Carian Selamat

YouTube (mengaktifkan atau mematikan Mod Sekatan)

  1. Klik gambar profil Anda.
  2. Klik Mod Sekatan.
  3. Di kotak dialog yang muncul, aktifkan atau matikan Mod Sekatan.

Facebook 

Sebaiknya, ibu bapa perlu tahu kata laluan bagi akaun Facebook anak-anak untuk memudahkan pemantauan secara dekat. Klik tiga titik bertindih pada profil akaun anak dan klik ‘Privacy Check-up’.

Di sini, ibu bapa boleh memilih siapa yang boleh melihat, menghantar mesej atau meminta menjadi rakan kepada anak-anak.

Selain itu, ibu bapa juga boleh menggunakan aplikasi pihak ketiga untuk memantau aktiviti anak-anak di Facebook yang boleh didapati dari Google Play Store mahupun Appstore. 

 Pelayar Internet: Chrome (mengaktifkan atau mematikan SafeSearch)

  1. Lawati halaman Tetapan Carian. (https://www.google.com/preferences)
  2. Di bahagian “Penapis SafeSearch”, tandai atau nyahtandai kotak di sebelah “Hidupkan SafeSearch”.
  3. Di bahagian bawah halaman, klik Simpan.

94% daripada kanak-kanak

Sebagai ibu bapa, kita pasti menginginkan cara terbaik untuk menjaga keselamatan kanak-kanak dalam talian. Dan cara terbaik itu adalah dengan melibatkan diri dan memantau aktiviti mereka kerana tidak ada perisian atau aplikasi yang benar-benar dapat menjamin keselamatan mereka. Jadi, kekalkanlah hubungan positif dengan kerap berkomunikasi dengan anak-anak anda.

Akhir kata, usah halang anak-anak anda untuk menggunakan internet. Namun, kawal dan pantaulah penggunaan internet mereka. Internet menghidangkan pelbagai maklumat dan ilmu, jadi rugi andai ibu bapa melarang mereka untuk memanfaatkannya gara-gara perkara negatif yang lain.

Adib Mohd