Siakap Keli

Pernah Jadi Pemain Kelab Argentina, Siapa Sebenarnya Hector Bidoglio?

Pernah Jadi Pemain Kelab Argentina, Siapa Sebenarnya Hector Bidoglio?

Selepas Benjamin Mora meninggalkan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) semalam, kelab itu tidak menunggu lama untuk melantik jurulatih baharu apabila pengendali dari Venezuela, Hector Bidoglio diumum sebagai jurulatih JDT menggantikan Mora.

Perkara itu diumum menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers (JST) dalam satu hantaran terkini. “Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim dengan sukacitanya mengumumkan Hector Bidoglio, bekas pemain Venezuela sebagai ketua jurulatih Harimau Selatan berkuat kuasa serta merta.”

“Hector memulakan karier kejurulatihan dengan kelab Argentina, Newell’s Old Boys. Beliau sebelum ini pernah menjadi jurulatih dalam divisyen teratas di Argentina, Peru dan Ecuador.”

“Pengendali berusia 54 tahun ini pernah menimba ilmu di kelab Sepanyol seperti Real Madrid, Barcelona, Sevilla dan Real Betis. Beliau juga telah berguru dengan pengurus tersohor Marcelo Bielsa ketika bersama-sama pasukan kebangsaan Chile pada 2009.” lapor JST.

JST
JST

 

Siapa Sebenarnya Hector Bidoglio?

Hector Bidoglio lahir pada 5 Februari 1968 di Rosario, Argentina. Beliau memiliki dua kewarganegaraan iaitu Argentina dan Venezuela. Ketika bergelar sebagai pemain, Bidoglio memilih untuk mewakili Venezuela dan membuat 17 penampilan bersama skuad kebangsaan negara itu dari tahun 1999 hingga 2000.

Bidoglio adalah seorang pemain tengah dan memulakan karier kelab beliau di Newell’s Old Boys yang berpangkalan di Argentina dan mengakhir karier di kelab Estudiantes Merida pada tahun 2008.

Twitter Hector

Karier sebagai Jurulatih

Bidoglio memulakan karier sebagai jurulatih di kelab pertama beliau sebagai pemain iaitu di Newell’s Old Boys. Ketika itu beliau memegang jawatan sebagai pembantu jurulatih pada tahun 2013 hingga 2016.

Pada tahun 2018 barulah Bidoglio dilantik sebagai jurulatih di kelab yang sama namun hanya setahun beliau memegang jawatan itu. Beliau berhijrah ke kelab Universidad San Martin pada tahun 2019 hingga 2021 yang berpangkalan di Peru.

Sebelum menerima tugas di Johor Darul Ta’zim, beliau dilantik menjadi jurulatih kelab Aucas di Ecuador dari tahun 2021 sehingga 2022. Kini beliau secara rasmi dilantik sebagai jurulatih baharu kelab JDT menggantikan Benjamin Mora yang meninggalkan kelab semalam.

Sumber: Transfermarket

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)