Siakap Keli

BTS Akan ‘Dendangkan’ Lagu Rasmi Piala Dunia Qatar

Kumpulan penyanyi dari Korea Selatan, BTS akan bekerjasama dengan Hyundai dalam satu projek untuk Piala Dunia Qatar yang dijangka berlangsung hujung tahun ini.

Bagi memeriahkan lagi Piala Dunia kali ini, Hyundai telah melancarkan kempen global bagi mempromosikan acara bolasepak terbesar dunia yang diadakan 4 tahun sekali itu.

Kempen yang diberi nama Goal Of The Century ini akan melibatkan ramai ikon dunia seperti lagenda England, Steven Gerrard, BTS, pemain lagenda Korea Selatan Park Jisung, Nadia Nadim, Jeremy Scott dan ramai lagi.

Sebahagian dari kempen itu, media Korea Selatan melaporkan BTS akan terlibat untuk mendendangkan lagu rasmi Piala Dunia FIFA tahun ini. Lagu itu dijangka akan diperkenalkan selepas bulan Jun 2022.

Sudah tentu ini akan menarik minat BTS ARMY untuk menyaksikan Piala Dunia kali ini. Piala Dunia Qatar dijadualkan berlangsung pada bulan November 2022.

Bila bercakap tentang lagu rasmi Piala Dunia, pasti masih terngiang di telinga anda lagu Waka Waka nyanyian Shakira ketika Piala Dunia Afrika Selatan 2010. Tak lupa juga lagu We Are One dendangan penyanyi rap terkenal, Pitbull untuk edisi Brazil empat tahun berikutnya.

Piala Dunia edisi kali ini dijangka akan menjadi edisi terakhir untuk beberapa pemain bintang dunia seperti Cristiano Ronaldo dan Messi atas faktor usia yang sudah menjangkau lewat 30-an.

Mampukah juara bertahan Perancis mempertahankan kejuaraan mereka kali ini? Sama-sama kita nantikan.

Sumber: Hyundai

 

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)