Siakap Keli
mhpay
Gambar: MAS via Simply Flying

MHPay: MAS Mulakan Pilihan Pembayaran Alternatif Secara Digital

Dengan kerjasama IATA melalui IATApay, MHPay direka untuk melengkapkan keseluruhan rangkaian kaedah pembayaran digital bagi syarikat penerbangan itu.

Gambar hiasan | Kredit: Malaysian Airlines

Ketika MAS bangkit ke langit biru semula, mereka telah diberi peluang untuk kembali fokus terhadap bahagian yang paling penting dalam perniagaan. Bahagian tersebut adalah menjalinkan hubungan yang baik dengan pelanggan. Hubungan baik dapat dicapai jika pihak syarikat penerbangan dapat meningkatkan kemudahan bagi perkhidmatan pelanggan mereka.

Pada masa yang sama, era pendigitalan telah membuka jalan untuk menaik taraf kemudahan penumpangnya. Malaysia Airlines (MAS) telah memutuskan untuk memperkenalkan MHPay, kaedah pembayaran digital alternatif baharu untuk penumpang menikmati kemudahan yang lebih baik..

Lancar dan selamat

Dengan kerjasama Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) melalui IATApay dan dikuasakan oleh 2C2P sebagai platform pembayaran suite penuh, MHPay menawarkan alternatif pembayaran kos efektif dengan masa transaksi pantas kurang daripada seminit, bergantung pada kelajuan internet. Alternatif ini terbukti dapat mengurangkan kes penipuan atas talian. Ini dapat menekankan komitmen MAS dalam memastikan keselamatan pembayaran secara sepenuhnya.

Ketua Pemasaran Kumpulan dan Servis Pelanggan Malaysia Airlines, Lau Yin May berkata,

“Kami sangat teruja untuk melancarkan MHPay sebagai satu bukti kepada inisiatif pendigitalan kami. Di samping itu, kami akan terus berinovasi demi memenuhi keperluan perniagaan dan pelanggan yang berkembang serta bertindak balas terhadap peningkatan pengguna yang celik digital. Pelanggan akan mendapat manfaat daripada MHPay kerana ia menawarkan cara yang pantas dan selamat untuk membeli tiket penerbangan secara atas talian. Tidak lupa juga, tiada bayaran perkhidmatan tambahan jika pembayaran dilakukan pada aplikasi mudah alih kami,”

Semua dalam satu

Kaedah pembayaran alternatif syarikat MAS juga direka untuk melengkapkan keseluruhan rangkaian kaedah pembayaran digital syarikat penerbangan itu. Dikenali sebagai syarikat penerbangan mesra digital, MAS telah menawarkan pembayaran atas talian dalam pelbagai platform seperti Buy Now Pay Later, Journify dan lain-lain.

Dengan MHPay, MAS menyasarkan peningkatan mutu perkhidmatannya dengan menyediakan akses yang lebih besar kepada semua pilihan pembayaran melalui satu titik integrasi.

Untuk fasa pertama pelancaran, MAS akan melancarkan MHPay di India. Hal ini demikian kerana, syarikat penerbangan nasional itu beroperasi di lima destinasi iaitu Bengaluru, Chennai, Delhi, Hyderabad dan Mumbai.

Kredit: Malaysian Airlines

MHPay menawarkan pilihan pembayaran masa nyata (real time) yang menggunakan landasan antara muka pembayaran bersepadu dengan lebih daripada 90% bank di India. Bank yang dipilih berdasarkan sokongan pembayaran akaun ke akaun tanpa menggunakan kad kredit atau debit. Dengan cara ini, penumpang tidak perlu risau akan kadar pertukaran dan caj perkhidmatan yang mengerikan.

Walau bagaimanapun, bila MAS akan melancarkan MHPay ke negara lain masih lagi tiada kepastian. May menekankan bahawa MHPay adalah satu inisiatif terbaharu oleh Malaysia Airlines untuk meyakinkan penumpangnya bahawa makna slogan ‘Hospitaliti Malaysia’ adalah lebih daripada sekadar slogan.

Beliau berkata lagi, “Ini mengukuhkan komitmen kami untuk meningkatkan mutu pengalaman pelanggan. Kami juga berhasrat untuk mengembangkan lebih banyak rangkaian tidak lama lagi. Apabila permintaan perjalanan meningkat, kami akan menggalakkan pengguna untuk memanfaatkan peluang ini untuk melawat tempat baharu dan terbang dengan yakin bersama Malaysia Airlines.”

Gambar hiasan | Kredit: Malaysia Airlines

Kesimpulan

Kini, Malaysia Airlines mengendalikan hampir 30 penerbangan mingguan ke India dan akan meningkatkan kekerapan secara beransur-ansur disebabkan permintaan yang kukuh dari negara itu. Hal ini telah menjadikan sebab mengapa MHPay akan memulakan pelancarannya di sana.

Pelancaran MHPay juga boleh menjadi gambaran awal untuk penambahan laluan baharu ke pasaran India. Hal ini disebabkan, MAS pernah memiliki kapasiti  60 penerbangan mingguan sebelum pandamik dan sedang berusaha untuk mencapai kapasiti prapandemik menjelang akhir tahun tahun ini.

Sumber: Simple Flying

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma