Gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) yang digeruni, Manchester United dilaporkan dalam proses menjual lima pemain pertahanan sebelum jendela perpindahan ditutup, lapor Metro Uk.
Menurut Sportsmail, senarai nama pemain yang tidak berada dalam perancangan jurulatih The Red Devils, Erik Ten Hag itu termasuklah Eric Bailly, Phil Jones, Axel Tuanzebe, Alex Telles dan Aaron Wan-Bissaka.
Untuk makluman, Bailly yang dibawa masuk oleh Jose Mourinho pada 2016 telah dikaitkan dengan beberapa kelab seperti AS Roma, AC Milan, Fulham dan Sevilla yang difahamkan berminat dengan pemain berusia 28 tahun itu.
Seorang lagi pemain yang bergelut dengan kecederaan sepanjang tempoh 11 tahun di Manchester, Phil Jones kini dalam perbincangan awal bersama bekas rakan sepasukannya, Wayne Rooney yang kini sebagai pengendali pasukan MLS D.C. United.
Sementara itu, bekas pemain akademi, Tuanzebe, 24, yang hanya membuat 19 penampilan bersama The Red Devils dikhabarkan akan bergabung dengan sebuah kelab pencabar baharu, Bournemouth yang baru sahaja tiba di EPL.
Sehubungan itu, bagi mengukuhkan bahagian pertahanan pasukan tersebut, Ten Hag telah membawa masuk Lisandro Martinez dari Ajax dan Tyrell Malacia dari PSV.

Tambahan pula, kedatangan Martinez ke Old Trafford telah mengurangkan lagi posisi Bailly, Jones dan Tuanzebe yang telah diketepikan di United sejak sekian lama, tambahan pula Harry Maguire, Raphael Varane dan Victor Lindelof akan terus kekal di kelab itu.
Sementara itu, Malacia yang bakal digandingkan bersama Luke Shaw selepas Alex Telles dijangka berpindah ke Sevilla dengan bayaran RM81.7 juta bersamaan nilai yang dibeli oleh United ketika pemain itu di kelab Porto.
Selain itu, Wan-Bissaka juga dikaitkan dengan kepulangan ke kelab lamanya, Crystal Palace pada musim panas ini walaupun secara pinjaman oleh United.
Walau bagaimanapun, pengendali United itu perlu mempertimbangkan semula perancangan tersebut berikutan pemain muda Ethan Laird akan menyertai Watford secara pinjaman dan Wan-Bissaka serta Diogo Dalot bakal menjadi satu-satunya bek kanan yang tinggal di kelab itu.
Sehubungan itu, berlaku lambakan pemain pertahanan dan Ten Hag mahu mengatasi masalah tersebut sebelum tirai perpindahan ditutup pada 1 September nanti.
Sumber: Metro Uk