Kementerian Pertahanan bakal menerima kapal tempur pesisir (LCS) 1 pada April 2027, berdasarkan tarikh baharu penyerahan yang ditetapkan oleh Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS).
Terima LCS 1 pada April 2027
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau yakin kapal berkenaan dapat diserahkan pada tarikh itu tanpa sebarang kelewatan lanjut demi memastikan kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pertahanan negara.
Beliau berkata demikian menerusi perkongsian di akaun Threads beliau selepas menghadiri persidangan Dewan Rakyat bagi menggulung perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 berhubung pengurusan projek LCS, semalam.
Menurutnya, kemajuan pembinaan LCS pertama (LCS 1) meningkat kepada 86.39 peratus setakat Ogos 2026, manakala kemajuan keseluruhan projek mencapai 80.13 peratus.
Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan selaku pelanggan projek amat dukacita dan kecewa dengan kelewatan serta prestasi pembinaan LCS oleh LUNAS.
Katanya, kelewatan itu memberi kesan kepada kesiagaan ATM dan pertahanan negara.
“Walaupun LCS 1 akan diterima tanpa peluru berpandu antikapal Naval Strike Missile (NSM), kapal berkenaan tetap akan dilengkapi dengan sistem persenjataan lain, manakala alternatif kepada NSM sedang dipertimbangkan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan telah mengeluarkan notis makluman ganti rugi kelewatan yang ditetapkan (LAD) kepada LUNAS.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa dengan komitmen Kementerian Pertahanan serta Kementerian Kewangan selaku kementerian yang bertanggungjawab terhadap LUNAS, penyerahan LCS 1 dapat dilaksanakan pada April 2027 tanpa kelewatan lagi.
Katanya, perkara itu penting bagi memastikan kesiagaan ATM dan pertahanan negara.

