Siakap Keli

Makan Jerung Putih Semasa ‘Live’ Hingga Dikecam Ramai, Influencer China Ditahan Polis & Mungkin Dipenjara

Seorang influencer di China telah ditahan oleh pihak polis untuk proses siasatan selepas dia dilihat memanggang dan makan ikan jerung putih dalam satu video tular baru-baru ini.

Kredit: Mothership.sg

Menurut AFP, seorang vlogger dikatakan menjamah ikan pemangsa itu dan spesiesnya telah dikenal pasti sebagai ikan jerung putih oleh pihak polis di Nanchong pada Ahad lalu.

Apa yang dilakukan oleh suspek?

Menurut laporan AFP seperti yang dilapor Mothership, individu itu dilihat sedang meratah daging haiwan tersebut yang telah dipanggang dalam satu video yang dimuat naik pada pertengahan Julai.

Kredit: Mothership.sg

Respons daripada pihak influencer

Difahamkan, influencer yang memiliki lebih daripada lapan juta pengikut di media sosial itu mendakwa dia mendapatkan ikan jerung tersebut daripada sumber yang ‘sah di sisi undag-undang’.

Tetapi dakwaannya itu sangat diragui kerana Biro Pertanian Tempatan menegaskan bahawa apa yang dikatakan wanita itu ‘tidak konsisten dengan fakta’ dan pihak polis masih lagi meyiasat perkara ini.

Ikan jerung merupakan haiwan yang mendapat perlindangan di China

Sementara itu, Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN) telah menyenaraikan ikan jerung putih sebagai spesies ‘mudah terdedah kepada bahaya’, hanya lagi satu peringkat sebelum diklasifikasikan sebagai spesies terancam.

Dalam masa sama, pengambilan sirip dan penangkapannya di lautan secara besar-besaran telah mengurangkan populasi ikan jerung dari semasa ke semasa.

Di China, spesies jerung putih telah disenaraikan sebagai haiwan yang dilindungi. Justeru, jika seseorang memilikinya secara tidak sah, individu tersebut boleh dihukum penjara selama lima hingga 10 tahun.

Kredit: Mothership.sg

Salah seorang warganet turut memberikan komen terhadap video tersebut,”Insan yang terlalu dahagakan perhatian ini sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan tontonan,”

Malah tidak hanya itu, ada juga warganet lain yang tidak tahan melihat tindakannya yang suka makan makanan yang bersifat terlalu ‘eksotik’ seperti salamander berwarna emas dan buaya.

Ada pengguna Weibo yang menzahirkan rasa ngeri semasa melihat videonya yang memaparkan dirinya sedang meratah ekor buaya.

Sejak kebelakangan ini, video makan secara berlebihan dikenali sebagai “mukbang” telah mendapat kecaman di China kerana disifatkan membazir dan keterlaluan dan pihak berkuasa sedang mengkaji untuk mengekang amalan itu berdasarkan alasan moral.

Sumber: Mothership.sg

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma