Shah Alam – Sebagai salah satu usaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) membantu lebih ramai masyarakat Islam yang tidak berkemampuan khususnya B40, MAIS telah mengubah syarat kelayakan berkaitan jumlah pendapatan kasar kepada RM3000 ke bawah berbanding RM1500 untuk perkhidmat bantuan Guaman Syarie secara percuma bagi kes mal di Mahkamah Syariah di Negeri Selangor.
Dengan adanya bantuan guaman secara percuma ini MAIS berharap dapat membantu kepada penyelesaian kes-kes mal di mahkamah syariah yang dihadapi oleh masyarakat Islam. Penyelesaian kes-kes kekeluargaan melalui bantuan guaman ini selaras dengan peranan MAIS iaitu untuk menyantuni golongan yang memerlukan dalam meningkatkan kesejahteraan sosial masyarakat Islam di negeri Selangor.
Selain syarat kelayakkan pendapatan, syarat lain yang melayakkan pemohonan ini adalah pemohon hendaklah seorang warganegara Malaysia, melengkapkan borang permohonan yang disediakan dan lulus temuduga penilaian kewajaran kes.
Antara jenis-jenis kes yang diwakili adalah permohonan cerai biasa, cerai fasakh, cerai khul’ (tebus talaq), cerai ta’liq, pengesahan lafaz cerai, pengesahan lafaz ruju’, poligami (hanya mewakili defendan sahaja), nusyuz, wali hakim, wali enggan, faraq nikah, pengesahan nikah dan pengesahan sah taraf anak, permohonan tuntutan kebenaran poligami (bagi defendan sahaja), tuntutan nafkah anak, tuntutan tunggakan nafkah anak dan tuntutan ubah perintah nafkah anak.
MAIS berharap masyarakat yang berkelayakkan mengambil peluang menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh MAIS ini dalam membantu menyelesaikan urusan yang berkaitan.
Maklumat lanjut dan borang permohonan boleh didapati melalui laman sesawang MAIS di https://www.mais.gov.my/bantuan-guaman-syarie-kategori-umum/ atau datang terus ke Kaunter Bahagian Undang-Undang Syariah, MAIS di Tingkat 6 Menara Selatan, Bangunan Sultan Idris Shah, Seksyen 5, Shah Alam, Selangor atau hubungi talian 03-5514 3643.