Siakap Keli
disyaki cuba seludup 25 pati
Gambar Via Polis KL

Remaja 17 Tahun Ditahan, Disyaki Cuba Seludup 25 Orang PATI Dalam Sebuah Kereta

Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun telah ditahan selepas disyaki cuba seludup 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) di Jalan Selinsing Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata remaja tersebut telah ditangkap selepas kereta yang dipandunya dalam keadaan mencurigakan.

“Kejadian berlaku ketika pihak polis sedang membuat rondaan di sekitar Jalan Manjoi 3, Taman Sri Kuching dan mendapati sebuah kereta jenis Toyota Vellfire warna hitam dipandu dalam keadaan mencurigakan.

“Pihak polis telah mengejar kereta tersebut dan apabila sampai di Jalan Selinsing, ia telah melanggar sebuah motosikal yang ditunggangi oleh seorang anggota polis yang sedang bertugas sehingga menyebabkan ianya terbabas,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi, suspek juga telah melanggar 3 buah kereta milik orang awam yang berada di tempat  kejadian.

Siasatan mendapati bahawa suspek warga tempatan itu membawa 19 orang lelaki dan juga enam orang perempuan warga asing berusia antara 15 hingga 39 tahun.

Seorang lagi suspek melarikan

“Seorang lagi penumpang hadapan yang merupakan lelaki warga tempatan telah berjaya melarikan diri semasa kemalangan berlaku.

“Hasil semakan identiti kesemua penumpang mendapati kesemuanya adalah pendatang asing tanpa izin (PATI) dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan peribadi,” katanya lagi.

Suspek mendakwa bahawa dia dan seorang lagi rakannya yang telah melarikan diri telah bertolak dari Rantau Panjang menuju ke Kuala Lumpur pada 2 Ogos jam 3.00 pagi untuk menghantar kesemua warga asing mencari pekerjaan.

Difahamkan, bayaran yang dikenakan kepada setiap PATI oleh penghantar (tekong) adalah sebanyak RM6000 untuk tujuan tersebut.

Suspek dan kesemua PATI telah ditahan reman bermula pada 3 Ogos untuk membantu siasatan.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 186 Kanun keseksaan.

Sementara itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan sindiket Antipemerdagangan Orang boleh menyalurkannya dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di 03-40482222.

https://www.facebook.com/PolisKL/posts/pfbid02Lqr34wwXDwmgju6qFrn1uxKNMn8jDXpw4aCFKCoX3LuDhPD7NTcda5rCz3YwpeZol

Sumber: Polis KL

Sofea Shahira

There's always another side to every story

" "