Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Seorang juruterbang berpangkat kapten ditahan pihak berkuasa Kanada selepas didakwa menggunakan lesen juruterbang palsu untuk menerbangkan pesawat penumpang selama 17 tahun.
Menurut kenyataan Polis Kanada, juruterbang berkenaan ditahan pada 1 Jun lalu dan siasatan yang dijalankan mendapati lelaki itu menjadi kapten kepada lebih 900 penerbangan domestik dan antarabangsa dari 2009 hingga 2025.
Tertuduh didapati tidak pernah memperoleh lesen penerbangan yang sah atau menduduki ujian wajib yang ditetapkan untuk melayakkannya menjadi kapten.
“Tahap siasatan dan butiran-butiran berkaitan kes ini seolah-olah seperti skrip sebuah filem,” kata Timbalan Ketua Polis Wilayah Peel, Milinovich pada sidang media di Ontario.
Tambahnya, tertuduh berjaya mengembangkan karier sehingga menjadi juruterbang utama dan menerbangkan pelbagai pesawat seperti Boeing 767, 777 dan 787.
Sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai kapten, lelaki itu juga meraih pendapatan lumayan hampir CAD3 juta (RM8.77 juta).
Mengulas lanjut tentang kes itu, Milinovich berkata tertuduh sebenarnya memiliki lesen untuk menerbangkan pesawat komersial sepanjang 27 tahun berkhidmat dengan syarikat penerbangan tersebut.
Bagaimanapun, dia didapati tidak pernah memiliki Lesen Juruterbang Pengangkutan Udara bagi Pesawat atau APTL-A, yang wajib dimilikinya selepas dinaikkan pangkat sebagai kapten pada 2009.
“Keadaan ini sama seperti seorang doktor yang mempunyai lesen untuk mengamalkan perubatan keluarga, tetapi melakukan pembedahan otak di kliniknya,” kata Milinovich.
Menurutnya, setiap pengiktirafan profesional mempunyai syarat dan peraturan tambahan yang ditetapkan atas sebab-sebab tertentu.
Pihak polis percaya bahawa tertuduh telah memberikan gambaran tidak benar mengenai kelayakannya kepada majikan dan pengawal seli penerbangan Kanada.
Tambah Milinovich, kesalahan lelaki tersebut terbongkar selepas pemeriksaan rutin terhadap kelayakannya dan dokumen penerbangannya pada 2025 menemui beberapa kejanggalan.
Syarikat penerbangan tempat lelaki itu berkhidmat kemudian melaporkan penemuan tersebut kepada pengawal selia penerbangan Kanada.
Tertuduh dilapor bersara pada 2025, sebelum siasatan jenayah dan pelanggaran kawal selia terhadapnya dimulakan pada Januari tahun ini.
Lelaki tersebut dikenakan denda oleh Transport Canada dan berdepan tujuh pertuduhan jenayah, termasuk penipuan membabitkan nilai melebihi CAD5,000, dua pertuduhan menggunakan dokumen palsu serta tiga pertuduhan memiliki tanda tiruan.
Kes berkenaan akan didengar di mahkamah pada 29 Jun ini.