Siakap Keli
Ronaldo Maguire
Gambar: AFP

Ronaldo & Maguire Muncul Pemain EPL Paling Banyak Kena ‘Kutuk’ Di Twitter Musim Lepas

Ronaldo & Maguire Muncul Pemain Bola Paling Banyak Kena ‘Kutuk’ Di Twitter

Dua pemain bintang dan kesayangan ramai peminat Manchester United, Cristiano Ronaldo dan Harry Maguire muncul sebagai pemain bola sepak paling banyak kena buli siber di media sosial atau dilempar kata-kata kesat di Twitter musim lepas, dalam satu laporan kajian yang diterbitkan pada Selasa.

Kajian yang dijalankan oleh The Alan Turing Institue dan Ofcom menggunakan teknologi mesin baharu itu menganalisis 2.3 juta mesej yang ditujukan kepada pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam tempoh lima bulan pertama musim 2021/2022.

Ia mendapati 60,000 hantaran yang dianggap  kesat, dengan 68 peratus pemain dalam kedudukan teratas menerima sekurang-kurangnya satu mesej dalam tempoh itu.

Satu daripada 14 pemain menerima hantaran kesat di Twitter setiap hari, menurut laporan itu, dengan separuh daripada semua mesej kesat ditujukan kepada 12 pemain yang menerima secara purata 15 mesej setiap hari.

Ronaldo menerima 12,520  tweet kesat manakala Maguire mendapat 8,954 dan Marcus Rashford, juga dari MU mencatatkan jumlah ketiga tertinggi dengan 2,557 tweet kata kesat. Lapan pemain MU disenaraikan 10 teratas dalam senarai laporan tersebut.

Gambar: BBC

Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane yang kapten England, dan pemain Manchester City Jack Grealish adalah satu-satunya pemain bola sepak bukan dari MU dalam 10 senarai teratas.

Sebagai sebuah kelab, pemain Tottenham mempunyai peratusan tertinggi daripada jumlah tweet kesat yang diterima iaitu 3.7 peratus.

“Laporan ini mendedahkan sejauh mana pemain bola sepak mengalami penderaan mental di media sosial.

“Walaupun sukar untuk menangani penyalahgunaan siber, kami tidak boleh membiarkannya berlaku. Lebih banyak perkara mesti dilakukan untuk menghentikan bentuk kandungan yang teruk bagi memastikan pemain boleh meneruskan tugas mereka tanpa dikritik dengan kata-kata kesat,” kata Dr Bertie Vidgen, pengarang utama laporan dan Ketua Keselamatan Dalam Talian di Institut Alan Turing.

Sebagai tindak balas, jurucakap Twitter, seperti yang dipetik oleh BBC, berkata ia mengalu-alukan kajian itu, dan menegaskan sudah banyak ciri-ciri keselamatan tersedia di Twitter untuk menghentikan hantaran kesat sedemikian kepada mana-mana individu.

“Kami komited untuk memerangi hantaran kesat, seperti yang digariskan dalam Dasar Tingkah Laku Kebencian kami, kami tidak akan bertolak ansur dengan penderaan atau gangguan kepada pengguna atas apa-apa sebab sekalipun,” kata jurucakap Twitter tersebut.

BACA: Azeem Fahmi Muncul Peserta Kelima Terpantas Dunia Dalam “Final” Kejohanan Dunia Olahraga B-20

Sumber: CNA News

Syed Faisal Sayed Muhammad

" "