Siakap Keli
Gambar via Mirror UK

Hari Bahagia Bertukar Tragis, Pengantin Lelaki Pukul & Tendang Isteri Hingga Mati Di Hadapan Tetamu

RUSIA – Seorang pengantin lelaki di Rusia telah dijatuhi hukuman penjara selama 18 tahun selepas didapati bersalah kerana membunuh isterinya di hadapan tetamu pada hari perkahwinan mereka yang sedang berlangsung, lapor Mirror UK.

Suspek yang berusia 25 tahun itu membunuh isterinya dengan menendang dan memukulnya hingga mati setelah dia mendakwa wanita itu telah berlaku curang.

Mangsa pula berusia 36 tahun didapati maut akan serangan itu dan kemudian mayatnya telah dicampak ke dalam gaung oleh suaminya yang mabuk disebabkan berasa cemburu.

Suspek melakukan serangan itu semasa majlis perkahwinan mereka di rumah persendirian sedang berlangsung dan tetamu dilaporkan terlalu takut untuk campur tangan akan pergaduhan kedua-dua pengantin itu.

Tetamu yang hadir bertindak memaklumkan kepada pihak polis mengenai kejadian mengejutkan yang berlaku di perkampungan Prokudskoye, Siberia itu.

Ketua penyiasat Kirill Petrushin berkata, “Suspek mula menumbuk dan menendang mangsa di luar rumah. Suspek mencengkam rambutnya, memukulnya, menolaknya keluar ke jalan di mana dia juga terus memukul badan dan kepalanya,” kata beliau.

Menurut laporan, suspek sebelum ini pernah disabitkan kesalahan kerana membunuh dan telah berkawan dengan suspek ketika dia dipenjarakan.

Adalah dipercayai, mangsa merasakan dia boleh membantu untuk ‘memperbaiki’ lelaki itu yang dikenali sebagai perompak dan pembunuh yang sudah disabitkan kesalahan.

Sementara itu, seorang rakan suspek berkata, “Dia benar-benar mencintainya dan sedang menunggu untuk dibebaskan,” katanya.

Insiden itu berlaku hanya beberapa jam selepas pasangan berkenaan bertukar ikrar di majlis perkahwinan mereka dan suspek mengaku melakukan pembunuhan itu apabila dia ditahan oleh pihak Pengawal Kebangsaan Rusia.

Kirill Petrushin turut berkata, “Mengenai taubat, saya tidak boleh komen. Saya sendiri tidak percaya dia sudah bertaubat,” kata beliau.

Kes keganasan rumah tangga di Rusia adalah masalah yang sangat serius dan pada tahun 2018 juga telah direkodkan bahawa terdapat 5,000 kes di mana wanita di Rusia telah dibunuh di tangan pendera mereka.

Aktivis mendakwa, pada tahun 2021 terdapat 16.5 juta wanita di Rusia mengalami keganasan rumah tangga setiap tahun sebelum wabak Covid-19 melanda.

Sumber: Mirror UK

Nurlizah Khazani