Siakap Keli
lelaki maut dipatuk ular
Gambar: Getty Images

Dua Beradik Maut Dipatuk Ular

INDIA – Seorang lelaki dilapor maut akibat dipatuk ular ketika tidur selepas menghadiri pengebumian abangnya yang turut maut akibat dipatuk ular dalam satu kejadian baru-baru ini.

Memetik Independent, lelaki berusia 22 tahun itu pulang ke kampung halamannya di Bhawanipur, India untuk menghadiri upacara pengebumian abangnya yang maut selepas dipatuk ular tedung.

Pegawai kanan polis, Raman Singh memberitahu media bahawa seorang lagi saudara lelaki daripada dua beradik yang maut itu turut dipatuk ular dan berada dalam keadaan yang kritikal.

“Mangsa telah maut selepas dipatuk ular ketika tidur, malah salah seorang saudaranya yang berada dalam rumah yang sama turut dipatuk ular,” ujar Raman Singh.

Sementara itu, menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), seramai 81,000 hingga 138,000 kematian akibat patukan reptilia berkenaan dicatatkan secara global dan hampir separuh daripada bilangan itu dilaporkan dari India.

Agensi itu turut menyatakan, kebanyakan kes gigitan ular tidak dilaporkan ekoran mangsa lazimnya mendapatkan rawatan daripada sumber bukan perubatan mahupun tidak memiliki akses kepada penjagaan kesihatan.

“Di India, kira-kira 90 peratus gigitan ular terjadi dalam kelompok empat jenis terbesar seperti ular tedung India, ular berbisa Rusell, ular bersisik gergaji dan ular jenis biasa,” ujar agensi kesihatan global tersebut.

Sumber: Independent.co.uk

Nurfatihah Shahirah Azzuddin