Siakap Keli
Serena Williams
Kredit

Serena Williams Umum Bersara Dari Dunia Sukan Tenis

Serena Williams umum bersara dari dunia sukan Tenis

Bintang tennis terkemuka dunia, Serena William, 40, mengumumkan akan bersara daripada dunia tenis dan menjangkakan bahawa Terbuka Amerika Syarikat akan menjadi perlawanan terakhirnya, lapor The Guardian yang memetik wawancara atlet berkenaan bersama Majalah Vogue.

Beliau dianggap antara bintang tennis perseorangan wanita terbaik dalam sejarah sukan itu dengan meraih 23 gelaran Grand Slam.

Serena berkata, keputusan untuk bersara itu dipengaruhi oleh keinginannya untuk menambah bilangan ahli keluarga. Beliau sebelum ini menimang cahaya mata sulung, Olympia pada 2017.

”Saya tidak pernah suka dengan perkataan ‘bersara’. Mungkin, perkataan yang lebih tepat untuk menggambarkan keputusan ini adalah ‘evolusi’. Jadi disini saya ingin memaklumkan bahawa saya akan berevolusi dari dunia tennis, kepada perkara-perkara lain yang bermakna di dalam hidup.

”Perlu memilih sama ada tennis atau keluarga adalah keputusan yang tak pernah saya ingin buat. Ia tidak adil. Jika saya adalah seorang lelaki, saya tidak perlu bercakap soal ini. Saya akan terus berada di gelanggang, mengejar gelaran seterusnya sementara isteri saya mengambil tanggungjawab ‘membesarkan’ keluarga (hamil) di rumah,” katanya.

Dalam temubual itu, Serena juga memberi bayangan bahawa Terbuka Amerika Syarikat akan menjadi kejohanan terakhir yang bakal disertainya.

”Malangnya, saya tidak bersedia untuk memenangi Wimbledon tahun ini. Begitu juga dengan Terbuka Amerika Syarikat September ini, tetapi saya akan mencubanya.

”Saya tahu, mungkin ada peminat yang mahu saya menyamai rekod Margaret Court (rekod gelaran 24 Grand-Slam) di London dan memintas rekod tersebut di New York, dan ketika di acara penyampaian trofi, saya akan berkata ”Jumpa lagi”. Ia adalah fantasi yang sangat menarik, tetapi saya tidak mengharapkan apa-apa majlis perpisahan atau memori terakhir di gelanggang.

”Mengucapkan selamat tinggal adalah kelemahan terbesar saya,” katanya lagi.

Serena William dianggarkan mempunyai aset USD 260 juta, menjadikannya adalah atlet wanita terkaya di dunia. Manakala suaminya, Alexis Ohanian, pengasas bersama Reddit memiliki kekayaan USD 70 juta.

Sumber: The Guardian, Forbes

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka